KUALA LUMPUR: Sejak semalam, anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak aktif mengucapkan rasa syukur terhadap sokongan rakyat kepada bapanya menerusi laman sosial Instagram.
Nooryana Najwa Najib berkata, dia dan keluarga tidak akan melupakan penat lelah semua pihak yang turut hadir di pekarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.
“Setiap ketua ada nama, tetapi setiap pemimpin mempunyai rakyatnya.
“Sokongan anda adalah dunia kami, kami sekeluarga tak akan lupa, terima kasih kerana sentiasa bersama bossku,” katanya di Instagram @yananajib.
Hari ini, Nooryana Najwa memuat naik satu catatan di Instagram bahawa kes bapanya itu “48 jam paling lama dan penuh emosi”.
Malah Yana turut menjelaskan yang perjuangan itu belum berakhir dan dia sedang membuat urusan mahkamah serta menjadi penjamin kepada bapanya.
“Ini bukan penghujungnya. Kami kecewa tetapi tidak akan mengalah.
“Hari ini adalah hari yang lain dan hari lain membawa kemungkinan yang tidak berkesudahan jika semangat kami tidak luntur, Insya-Allah,” katanya.
Semalam, Najib didapati bersalah atas semua tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan wang RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.
Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali menjatuhkan hukuman penjara keseluruhan 72 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib.
Hakim membenarkan penangguhan hukuman sementara menunggu rayuan pihak pembelaan tetapi menaikkan jumlah jaminan kepada RM1 juta. Najib membayar jaminan berkenaan. – UTUSAN ONLINE