Media rebut pas buat liputan kes Najib - Utusan Malaysia

Media rebut pas buat liputan kes Najib

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sejak bulan lalu, hampir 30 agensi media luar negara cuba mendapatkan tempat untuk membuat liputan keputusan kes melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak yang dija­dual diputuskan oleh mahkamah, 28 Julai ini.
Bekas Perdana Menteri itu didakwa atas pelbagai pertuduhan membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.
Antara yang mencuba nasib ialah Bloomberg, AFP, Reuters, EFE (dari Sepanyol) Al Jazeera, Phoenix TV, The Asahi Shimbun, Channel News Asia, Straits Times Singapore dan Antara.
Bagaimanapun, ekoran pandemik Covid-19, hanya 40 pas akan dikeluarkan termasuk 10 daripadanya untuk liputan di galeri awam, selebihnya di bilik videolink.
Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan didakwa pada Julai dan Ogos 2018 atas tiga tuduhan pe­cah amanah, satu tuduhan salah guna kuasa dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International.
Beliau yang juga Perdana Menteri keenam dari 2009 hingga 2018 adalah ketua kerajaan Malaysia pertama dihadapkan ke mahkamah.
Sepanjang perbicaraan peringkat pendakwaan bermula 3 April lalu, pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc, Datuk V. Sithambaram mengemukakan lebih 750 eksibit termasuk dokumen bank berkaitan akaun Najib, dokumen transaksi tunai, minit mesyuarat dan perbualan di Blackberry Messenger.
Seramai 57 saksi pendakwaan termasuk Pengurus Cawangan AmBank Jalan Raja Chulan, R. Uma Devi, 40; bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) Azian Mohd. Noh, 66; bekas Ahli Lembaga Pengarah SRC, Tan Sri Ismee Ismail, 54, dan Pengarah Bukan Eksekutif SRC, Datuk Suboh Md. Yassin, 68, dipanggil memberi ketera­ngan.
Sementara itu, pada peringkat bela diri yang bermula 3 Di­sember lalu, pihak pembelaan diketuai peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memanggil 19 saksi.
Selain Najib memberi kete­rangan secara bersumpah, turut dipanggil sebagai saksi pembela­an ialah dua bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Dzulkif­li Ahmad dan Latheefa Koya serta bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
Perbicaraan keseluruhannya berlangsung selama 94 hari. UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN