KUALA LUMPUR: Ramai penjawat awam bergantung kepada elaun dan gaji bersih untuk menyara keluarga tatkala pasangan mereka dalam sektor swasta diberhentikan kerja.
Malah, ada yang diarahkan bercuti tanpa gaji kesan ekonomi menguncup sejak penularan Covid-19.
Biarpun ‘terjamin’ dalam istilah kelangsungan hidup, faedah-faedah yang diterima penjawat awam bukanlah bermakna mereka tidak terkesan langsung daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan, tetapi senario yang dialami pasangan swasta mereka menyebabkan perbelanjaan ekonomi rumah tangga turut meningkat.
Isu itu mendapat reaksi Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat yang menegaskan, penjawat awam turut terjejas.
Beliau berkata, terdapat ramai penjawat awam mempunyai pasangan yang juga hilang pekerjaan dan diberi cuti tanpa gaji.
“Kerajaan digesa meneruskan peraturan sedia ada. Ini kerana, penjawat awam sedia ada telah terjejas kerana bagi golongan kumpulan pelaksana, mereka juga mempunyai pasangan yang kehilangan kerja.
“Mereka juga mempunyai pasangan yang bekerja sendiri dan tidak dapat bekerja sebab PKP.
“Penjawat awam juga adalah rakyat biasa. Jadi, besar harapan kita supaya kerajaan dapat terus mengekalkan faedah-faedah persaraan, faedah-faedah kebajikan yang pernah ada ketika ini,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam. – UTUSAN ONLINE