BANDAR BAHARU: Seramai 260 petani di beberapa kampung di Mukim Bagan Samak di sini mendakwa rugi selepas padi yang dituai tidak berkualiti akibat diserang penyakit hawar bulir bakteria.
Keluasan tanaman padi terlibat dianggarkan 670 hektar, meliputi Kampung Kubu, Asam Kumbang, Parit Teropong dan Tebok Md. Rashid.
Pesawah, Ramli Abdun, 59, dari Kampung Parit Teropong berkata, masalah serangan penyakit tersebut yang mudah merebak adalah kali pertama berlaku di kawasan itu.
Beliau berkata, penyakit dipercayai berpunca dari benih padi yang tidak mematuhi piawaian sah yang digunakan segelintir petani musim lalu.
“Keadaan itu menyebabkan kira-kira 70 peratus padi yang dituai rosak dan tidak ada isi,” katanya ditemui dalam Program Bersama Jabatan Pertanian dan Program Daftar E-Kasih di sini semalam.
Johari Said, 63, dari Kampung Tebok Md. Rashid pula mengharapkan petani-petani tidak lagi menggunakan benih padi tidak sah kerana bimbang serangan penyakit berulang musim ini.
“Ramai petani merancang menanam padi variati baharu jenis MR279 dan MR303 pada musim-musim akan datang bagi meningkatkan pendapatan masing-masing.
“Namun, usaha tersebut tidak akan berjaya sekiranya masih ada petani menggunakan benih padi tidak sah,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd. Noor berkata, sebuah jawatankuasa perlu dibentuk melibatkan beberapa agensi kerajaan bagi mengatasi serangan penyakit itu.
Katanya, jawatankuasa itu akan memastikan semua petani menggunakan benih padi sah dan racun yang tidak mendatangkan masalah serangan penyakit sehingga menjejaskan pokok dan hasil padi.
Penyakit hawar bulir bakteria atau ringkasnya BPB adalah penyakit bawaan benih disebabkan bakteria. – UTUSAN ONLINE