GUA MUSANG: Seramai 20 kakitangan Hospital Orang Asli Gombak (HOAG) terkandas di Pos Belatim, dekat sini lebih 24 jam akibat jambatan runtuh sebelum diselamatkan pasukan penyelamat, malam tadi.
Kumpulan petugas termasuk doktor terbabit terkandas ketika hendak ke bandar Gua Musang selepas melakukan tugasan pemantauan kesihatan masyarakat Orang Asli di Pos Belatim sejak beberapa hari lalu
Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, operasi menyelamat terdiri daripada 28 anggota melibatkan pihak polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Kementerian Kesihatan.
“Ketika perjalanan pulang pukul 8 malam kelmarin (Jumaat), perjalanan mereka tersekat akibat jambatan runtuh di samping laluan ditutup lumpur di atas jalan akibat hujan lebat.
“Seorang doktor melaporkan perkara itu kepada kami pukul 9.45 malam dan kami mengumpulkan 28 anggota penyelamat sebelum bertolak ke Pos Belatim pada pukul 10 pagi semalam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Mohd. Taufik berkata, kumpulan itu terpaksa bermalam di lokasi kejadian sementara menunggu anggota penyelamat tiba pukul 3 petang semalam.
Katanya, anggota penyelamat juga terpaksa berjalan kaki lapan kilometer ke lokasi mangsa terkandas.
“Kesemua mereka dibawa keluar menggunakan kenderaan disediakan jabatan pasukan penyelamat dan selamat sampai ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) pukul 8 malam tadi.
“Kumpulan itu juga dalam keadaan baik dan tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan kerana makanan mencukupi,” katanya. -UTUSAN ONLINE