KUALA LUMPUR: Kira-kira 150 buah rumah terjejas dalam kejadian banjir di Kampung Sungai Chua, Kajang dekat sini semalam.
Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kajang(MPKj), Kamarul Izlan Sulaiman berkata, hujan lebat berterusan sejak pukul 6 petang menyebabkan kawasan tersebut dinaiki air.
Katanya, semua mangsa dipindahkan di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Chua selepas pihaknya menerima aduan pada pukul 7.30 malam.
“Kerja menyelamatkan mangsa banjir dilakukan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan cawangan kejuruteraan kami.
“Sebanyak empat bot digunakan selain beberapa kenderaan lain untuk melancarkan operasi menyelamat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Selain Sungai Chua, kawasan lain yang turut dinaiki air antaranya Taman Sri Jambu; Taman Muhibbah, Sungai Chua; Sungai Sekamat; Kampung Sungai Jernih dan Taman Jelita. – UTUSAN ONLINE