KUANTAN: Kira-kira 15 peratus projek pembinaan infrastruktur kerajaan serta swasta di seluruh negara masih tertangguh dan tidak dapat dilaksanakan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sudah diarahkan untuk membuat penilaian bagi mengetahui bentuk bantuan yang boleh diberikan bagi menggerakkan kembali projek terbabit.
Beliau berkata, punca penangguhan projek itu disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan kerajaan 18 Mac lalu, dengan semua projek di bawah kontrak kerajaan dan swasta terpaksa menghentikan operasi.
“Apabila kerajaan memberikan kebenaran semula untuk pemaju projek pembinaan beroperasi, kita mendapati jumlah projek yang sudah berjalan sebanyak 85 peratus manakala bakinya masih tertangguh.
“Berdasarkan kajian ia disebabkan beberapa perkara seperti aliran tunai, masalah tenaga kerja, bekalan bahan binaan dan kekeliruan berkaitan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan Pusat dan kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri taklimat projek pembinaan jambatan baharu merentasi Sungai Kuantan menghubungkan Bandar Kuantan ke Bandar Putra, Tanjung Lumpur di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Penyampaian Awam dan Inovasi negeri, Datuk Seri Norolazali Sulaiman.
Dalam masa sama, Fadillah memaklumkan, hasil kajian dan pertimbangan yang dikemukakan CIDB akan digunakan kerajaan bagi membantu menggerakkan projek yang tertangguh.
Katanya, untuk kontrak kerajaan, lanjutan tempoh siap selama tiga bulan dari tempoh asal telah diberikan.
“Kita lanjutkan secara automatik, jika kontraktor ingin lanjutan lebih tiga bulan, permohonan perlu dibuat. Ada beberapa pertimbangan yang akan kita nilai,” katanya.
Sementara itu, beliau turut mengumumkan skop tambahan pembinaan jejambat dari persimpangan Bukit Setongkol ke Kemunting, Jalan Kuantan-Gambang di sini bernilai RM47 juta.
Katanya, skop tambahan yang dijangka siap pada 14 Jun 2022 itu akan dilaksanakan kontraktor Ahmad Zaki Resources Berhad (AZRB) yang sebelum ini bertanggung jawab membina jalan empat lorong berkembar serta jambatan baharu sepanjang 451 meter merentasi Sungai Kuantan. – UTUSAN