13 pemimpin negara miliki aset lebih RM10 juta - Utusan Malaysia

13 pemimpin negara miliki aset lebih RM10 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 13 anggota kerajaan terdiri daripada Menteri dan Timbalan Menteri mempunyai aset lebih RM10 juta.

Berdasarkan Portal mydeclaration.sprm.gov.my, mereka  ialah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, diikuti Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md.Yusof; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkil; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Turut mengisytiharkan memiliki jumlah aset yang sama ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Hanifah Hajar Taib; Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaafar; Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Senator Datuk Lim Ban Hong; Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Mohamed; Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Dr. Jeffrey G. Kitingan; Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Santhara Kumar dan Timbalan Menteri Pendidikan, Senator Datuk Dr. Mah Hang Soon.

Dalam pada itu, Muhyiddin dilaporkan menerima pendapatan bulanan tertinggi sebanyak RM93,841.65 diikuti Annuar (RM87,877.20) dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin (RM84,615.20).

Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya telah menerima 57 daripada 70 maklumat harta anggota pentadbiran kerajaan termasuk Perdana Menteri.

Katanya, orang ramai boleh mengakses maklumat perisytiharan harga anggota pentadbiran itu menerusi portal pengisytiharan harta itu bermula hari ini.

“SPRM tidak bertanggungjawab terhadap maklumat pengisytiharan harta yang diperolehi atau diambil daripada mana-mana sumber selain portal berkenaan,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN