PARIT: Seramai 115 pelajar lelaki Maahad Tahfiz al-Quran Masjid Lama di Kampung Lambor Kanan, Bota dekat sini berjaya menyelamatkan diri selepas tiga blok bangunannya terbakar, awal pagi ini.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar, Zaiful Affendi Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 12.52 tengah malam sebelum sepasukan anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi.
Katanya, operasi turut dibantu BBP Parit, BBP Teluk Intan, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Teluk Intan dan PBS Air Tawar melibatkan keseluruhan anggota seramai 31 orang.
“Kebakaran membabitkan sebuah bangunan dua tingkat yang mana tingkat bawah dijadikan tempat penyimpanan barang masakan dan bahagian atas tempat penyimpanan barang pelajar seperti pakaian,” katanya di sini hari ini.
Zaiful Affendi berkata, sebanyak 80 peratus daripada asrama lama dan sebuah stor musnah dalam kebakaran itu manakala dewan pula terbakar 10 peratus.
“Bilik kuliah tiga tingkat pula terbakar lima peratus. Semua pelajar bersama lima guru yang berada di maahad tahfiz itu berjaya menyelamatkan diri sebelum api merebak.
“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 3.25 pagi,” katanya. – UTUSAN ONLINE