KOTA BHARU: Kira-kira 100,000 kenderaan dijangka memasuki negeri ini sempena Aidiladha bermula semalam hingga Isnin depan, peningkatan lebih 50 peratus berbanding hari biasa.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Hanif Yusabra Yusof berkata, bagi mengurangkan risiko kemalangan, pihaknya memantau rapi pergerakan keluar masuk kenderaan, terutama dari utara dan selatan negeri.
“Menerusi Ops Patuh, seramai 120 pegawai dan anggota dikerah bertugas membuat pemantauan dan pemerhatian selama 24 jam di 17 kawasan hot spot di negeri ini.
“Bagaimanapun kita tidak melakukan sekatan jalan raya kerana mahu memastikan pergerakan kenderaan lancar,” katanya kepada pemberita ketika penguatkuasaan Ops Patuh di Terminal Bas Lembah Sireh, di sini, hari ini.
Hanif Yusabra berkata, sepanjang Ops Patuh, saman tetap dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya yang gagal mematuhi peraturan seperti memotong di lorong kecemasan, melanggar lampu isyarat dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.
Katanya, bagi tempoh Januari hingga semalam, sebanyak 121 notis berkaitan pelbagai kesalahan dengan jumlah kompaun RM27,340 dikeluarkan.
“Kebanyakan saman dikeluarkan kerana melakukan kesalahan teknikal seperti tidak memakai tali pinggang keledar dan memotong laluan tidak dibenarkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE