IPOH: Perak memandang serius isu kesihatan mental dan sedia meminda pelan pembangunan negeri demi menjaga kesihatan awam.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, inisiatif seperti Perak Sejahtera 2030 adalah tidak terikat dan dirangka dari bawah (rakyat) ke atas (pemimpin) serta memerlukan persetujuan awam.
“Hampir tiga tahun telah dilaksanakan, kerajaan barangkali perlu melihat semula beberapa perkara yang jika perlu diubah suai, kita kena ubah suai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Jason Ng Thien Yeong (DAP-Astaka) mengenai kesihatan mental semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Saarani berkata, pada tahun 2024 sahaja sebanyak 345 program dan kursus berkaitan kesihatan mental telah dilaksanakan termasuk penempatan 13 pegawai psikologi kaunseling di setiap Pejabat Kesihatan Daerah dan institusi kesihatan negeri.
“Khidmat kaunseling, terapi, sumber pendidikan dan aktiviti relaksasi turut disediakan. Sebanyak 81 Klinik Kesihatan Minda Sihat menyediakan saringan awal kesihatan mental di semua 12 daerah di Perak,” katanya.
Sementara itu beliau berkata, sehingga November 2024 sebanyak 9.55 juta pokok telah berjaya ditanam di seluruh negeri, menghampiri sasaran 10 juta pokok menjelang 2025.
Jelasnya, kerajaan negeri melaksanakan Agenda Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok sejak Januari 2021 bagi menangani fenomena perubahan iklim. – UTUSAN