PETALING JAYA: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun antara lapan individu yang ditahan pihak polis berhubung kes pecah pejabat di Kampung Baru Ampang, Ampang, melibatkan kerugian kira-kira RM150,000.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, dalam kejadian yang dilaporkan pada 14 Disember lalu, pengadu, seorang pengarah syarikat berusia 36 tahun, mendapati pejabatnya telah dipecah masuk.
“Pemeriksaan menunjukkan tombol pintu telah diumpil dan keadaan pejabat berselerak. Antara barang yang hilang termasuk komputer riba, telefon bimbit, kamera, topi keledar, wang tunai RM90,000 serta pelbagai mata wang asing.
“Bertindak atas laporan itu, polis telah menjalankan beberapa siri serbuan dari 17 hingga 31 Disember lalu, membawa kepada penahanan tujuh lelaki dan seorang remaja perempuan berumur antara 17 hingga 41 tahun.
“Kesemua suspek ditahan di sekitar Lembah Klang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, hasil semakan mendapati tujuh daripada suspek memiliki antara dua hingga 24 rekod lampau membabitkan pelbagai kesalahan jenayah dan dadah. Bagaimanapun, remaja perempuan terbabit tiada rekod jenayah sebelum ini.
“Modus operandi kumpulan tersebut adalah melakukan jenayah pada waktu awal pagi, mensasarkan pejabat, premis perniagaan dan kenderaan yang diletakkan di luar kawasan rumah.
“Siasatan awal juga mendapati kumpulan ini aktif dalam jenayah pecah pejabat, mencuri, dan curi kenderaan sejak tiga bulan lalu,” katanya.
Jelasnya, antara barangan yang dirampas termasuk pelbagai jenis telefon bimbit, komputer riba, topi keledar, mesin pelbagai jenama, mata wang asing dan sebuah motosikal yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah.
“Lima daripada suspek telah dibebaskan selepas selesai siasatan, manakala tiga lagi termasuk remaja perempuan itu direman hingga 6 Januari bagi membantu siasatan.
“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk premis, yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebatan jika sabit kesalahan,” katanya. – UTUSAN