Di PARLIMEN, Pas mempunyai 43 kerusi yang mencatatkan bilangan tertinggi dalam sejarah 72 tahun penubuhan parti itu. Di peringkat negeri pula, Pas menguasai empat negeri iaitu Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan dengan empat negeri tersebut ditadbir Menteri Besar dari parti Islam itu.
Pas juga cemerlang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan enam negeri tahun lalu apabila merekodkan kemenangan di 105 daripada keseluruhan 126 kerusi ditandingi mereka.
Peratusan kemenangan Pas di dalam PRN tersebut yang mendominasi sebahagian besar kemenangan Perikatan Nasional (PN) khususnya di Kedah, Terengganu dan Kelantan mencecah sehingga 82.7 peratus. Sekutu Pas di dalam PN, iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula hanya menang 40 kerusi atau 49.4 peratus dan kalah 41 kerusi.
Di peringkat akar umbi dan kekuatan jentera, Pas juga jauh lebih kukuh jika dibandingkan Bersatu sekali gus banyak membantu gerak kerja PN berdepan pilihan raya.
Malah, undi dan jentera Pas juga dilihat banyak membantu kemenangan calon Bersatu di sesuatu kawasan di dalam pilihan raya. Dari kerja-kerja pasang bendera dan raih undi sekali pun, itu juga banyak bergantung kepada jentera Pas. Itu hakikat.
Namun agak mengecewakan, Pas yang ‘sewajibnya’ diberikan lebih peranan di dalam PN seolah-olah tidak mendapat kedudukan yang sepatutnya dengan penguasaan pemimpin Bersatu dalam barisan kepimpinan tertinggi PN.
Jika Pengerusi PN terus kekal diterajui, Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin tidak terlalu menjadi masalah memandangkan Presiden Bersatu itu sememangnya mempunyai pengalaman cukup luas di dalam politik dan pentadbiran.
Apabila jawatan-jawatan penting lain seperti Timbalan Pengerusi, Setiausaha Agung, Ketua Penerangan dan Ketua Wanita juga dikuasai pemimpin Bersatu, ia agak tidak adil kepada Pas yang menjadi tunjang kekuatan PN.
Peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Bendahari Agung PN meskipun Menteri Besar Terengganu itu masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan, ia tidak sepatutnya dipandang mudah kerana ramai melihat itu adalah gambaran protes Pas selepas Bersatu dilihat terus menguasai jawatan-jawatan penting di dalam gabungan berkenaan.
Ia perlu diberikan perhatian serius oleh Bersatu jika ingin kembali mengukuhkan gabungan berkenaan khususnya dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Apabila Ahmad Samsuri yang juga antara pemimpin masa depan Pas yang sering diwar-warkan sebagai calon Perdana Menteri dari PN itu meletak jawatan tanpa sebab, ia mampu memberi satu implikasi tidak baik buat PN khususnya membabitkan hala tuju kerjasama Pas dan Bersatu selepas ini.
Titik terkuat dan pencapaian terbaik gabungan tersebut khususnya dalam PRU15 dan PRN pada 2022 dan 2023 dilihat sukar diulangi dalam pilihan raya akan datang jika isu berkenaan gagal ditangani dengan baik.
Meskipun Pas dilihat banyak beralah dan sentiasa memberi laluan kepada Bersatu termasuk pemimpinnya juga diberi peranan sebagai Ketua Pembangkang namun Bersatu juga perlu lebih berkrompomi dengan Pas bukannya menguasai kebanyakkan jawatan penting di dalam PN sehingga memperlihatkan Pas sebagai tidak berfungsi.
Kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin sebelum ini bahawa Pas wajib mengetuai PN sebenarnya perlu diberikan perhatian atau dipertimbangkan. Jika dilihat, sudah tiba masanya Pas mengetuai gabungan itu dalam mendepani PRU16 yang dilihat jauh lebih sukar.-UTUSAN