KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor berjaya mengetepikan hakim Mahkamah Tinggi daripada terus mendengar kes kes saman sivil berhubung pembelian barangan mewah berjumlah AS$346 juta (RM1.64 bilion) menggunakan wang diseleweng daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim Leong Wai Hong memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu.
“Menurut afidavit sokongan permohonannya agar saya menarik diri, defendan pertama (Rosmah) menyatakan alasan permohonan tersebut ialah kerana saya pernah menjadi rakan kongsi Tetuan Skrine dan merupakan bekas Ketua Bahagian Perundangan dan Timbang Tara firma tersebut daripada 2011 hingga 2021.
“Defendan menyatakan pada masa tersebut, Tetuan Skrine merupakan peguam bagi plaintif (1MDB) yang mana terlibat dalam subjek utama saman ini termasuk siasatan 1MDB dan suaminya, Najib Razak yang merupakan Perdana Menteri ketika itu.
“Selepas mempertimbangkan permohonan tersebut, saya bersetuju untuk menarik diri daripada terus mendengar kes ini atas prinsip bahawa keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan tetapi mesti dilihat telah dilaksanakan. Saman ini akan didengar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi yang lain,”kata hakim itu pada prosiding yang dijalankan secara Zoom.
Pada 9 Mei lalu, 1MDB dan anak-anak syarikatnya memfailkan saman terhadap Rosmah antara lainnya menunjukkan wanita itu membayar AS$346,010,489 atau satu jumlah yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah.
Anak-anak syarikat 1MDB yang terlibat dalam saman itu ialah SRC International Sdn. Bhd., 1MDB Energy Holdings Ltd, 1MDB Energy Ltd, 1MDB Energy (Langat) Ltd, Global Diversified Investment Company Ltd (1MDB Global Investments Ltd) sebagai plaintif kedua hingga keenam.
Sebelum ini, Rosmah pernah disaman oleh syarikat barang kemas, Global Royalty Trading SAL dari Lubnan untuk mendapatkan kembali 43 barang kemas yang bernilai RM67.5 juta.
Selain itu beberapa entiti pesisir luar turut disenaraikan sebagai plaintif ketujuh hingga 11 antaranya ialah Affinity Equity International Partners Limited, Alsen Chance Holdings Limited, Blackrock Commodities (Global) Limited, Blackstone Asia Real Estate Partners Limited dan Brightstone Jewellery Limited.
Selain Rosmah, turut dinamakan dalam permohonan injunksi mareva itu ialah seorang wanita bernama Shabnam Naraindas Daswani atau turut dikenali dengan nama Natasha Mirpuri.
Antara barangan yang didakwa dibeli Rosmah menggunakan dana yang diseleweng ialah rantai leher bertatahkan berlian kuning (AS$1.77 juta), gelang tangan bertatahkan berlian termasuk berlian merah jambu (AS$1.2 juta) dan cincin bertatahkan berlian berbentuk rama-rama (AS$1.05 juta).
Selain itu ialah dua beg tangan jenama Hermes iaitu Hermes Rose Amethyste Croco Horse Shoe Special Order bernilai AS$130,000 dan Hermes White with Gray Croco Skin (RM2 juta). turut disenaraikan ialah jam tangan Cecil Purnell Ti bernilai RM1 juta. – UTUSAN