Taman hutan Kedah tutup hingga awal 2025

Taman hutan Kedah tutup hingga awal 2025

TAMAN Eko Rimba Puncak Janing antara kawasan yang ditutup sehingga berakhir musim tengkujuh pada awal tahun depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) menutup sementara semua taman hutan kepada pengunjung ekoran faktor peralihan monsun ketika ini yang dijangka berlarutan dengan musim tengkujuh, bulan depan.

Pengarah Perhutanan Kedah, Muhammad Abdullah berkata, penutupan termasuk 10 kawasan di bawah pengurusan jabatan itu di taman eko rimba (TER), hutan simpan taman negeri (HTN) dan kawasan pendakian dalam hutan simpan kekal (HSK) yang ditutup sehingga ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

“Antaranya, TER Puncak Janing, TER Sungai Teroi, TER Tupah, TER Lata Mengkuang, TER Bukit Wang, TER Bukit Hijau, TER Ulu Paip dan TER Lata Bayu. Kesemua kawasan ini berisiko berlaku kejadian kepala air seperti di Bukit Wang dan Puncak Janing yang pernah berlaku bencana itu.

“Kita sentiasa berbincang dengan Jabatan Meteorologi untuk mendapatkan maklumat terkini dan penutupan ini adalah di atas nasihat pihak itu,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan kenyataan kelmarin yang menjangkakan Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh bermula November ini sehingga Mac 2025.

Tambah Muhammad, penutupan itu tidak melibatkan enam TER yang berada di bawah pengurusan pihak swasta iaitu TER Pasir Tengkorak, TER Tasik Dayang Bun­ting, TER Air Terjun Temurun, TER Telaga Tujuh, TER Seri Perigi dan TER Titi Hayun.

“Bagaimanapun kita menasihatkan pihak terlibat supaya mengambil langkah yang sama untuk tutup sehingga ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudian. Kita minta mereka patuhi juga kerana kejadian kepala air pernah berlaku di kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata, JPNK turut menempatkan kakitangan di kawasan itu bagi memantau situasi semasa dan mengelak orang ramai berkunjung ke situ sepanjang penutupan.

Akhbar ini melaporkan, peralihan monsun bermula 24 September lepas dijangka mencetuskan ribut petir dan banjir kilat terutama di kawasan pedalaman Kedah.

Pengarah MetMalaysia Kedah, Muhammad Khalil Abd. Aziz berkata, lebih banyak insiden banjir kilat dan angin kencang diramalkan berlaku dalam tempoh peralihan itu sehingga awal bulan depan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya