Minta berhenti nyanyi, tidak sanggup lihat isteri hadap kecaman - Utusan Malaysia

Minta berhenti nyanyi, tidak sanggup lihat isteri hadap kecaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Vokalis kumpulan Boboy, Naqiu, mendedahkan pernah meminta isteri, Hanisah Zuhari atau Hani meninggalkan kerjaya sebagai penyanyi.

Jelas Naqiu atau Wan Naqiuddin Mohd Najib, 37, keputusan itu diambil kerana tidak sanggup melihat isteri menjadi mangsa kecaman pengguna media sosial.

“Isteri saya sebenarnya seorang penyanyi. Selepas kemunculan semula saya dalam industri seni, saya minta isteri berhenti daripada bekerja sebagai penyanyi.

“Kalau boleh saya tidak mahu lagi dia kembali bergelar penyanyi. Kakak saya juga penyanyi. Ahli keluarga yang perempuan saya tidak galakkan menjadi penyanyi kerana tidak sanggup melihat mereka menghadapi kecaman.

“Saya ambil iktibar daripada pengalaman sendiri yang pernah melalui pelbagai kritikan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Tambah juara Gegar Vaganza musim keenam itu lagi, sehingga kini, dia terpaksa menolak sebarang pelawaan yang memintanya untuk tampil membuat persembahan bersama isteri.

“Ada sahaja produksi yang minta isteri untuk tampil atau mahu kami menyertai sesuatu pertandingan bersama-sama.

“Namun saya tolak permintaan itu dengan alasan yang sama,” tambahnya.

Terdahulu, Naqiu dan isteri, Hani mendirikan rumah tangga pada 18 Januari 2010.

Sehingga kini, pasangan itu dikurniakan enam orang anak iaitu Wan Ratna Putri, Wan Daniel Iman, Wan Esyana Alicia, Wan Alexsander Putra, Wan Danish Aydin dan Nia. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN