Kembar tiga bantu ibu proses rebung madu cari wang

Kembar tiga bantu ibu proses rebung madu cari wang saku belanja sekolah

PASANGAN kembar, dari kanan Norain Najiha, Norain Nasuha dan Norain Nabiha membantu ibunya, Norma (kiri) mengutip rebung buluh madu di kawasan rumah mereka di Kampung Teluk Pendiat, Baling.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING : Seawal pukul tujuh pagi, pasangan kembar tiga, Norain Nabiha, Norain Najiha dan Norain Nasuha Nasir, 18, tidak berlengah mengikut langkah ibu mereka, Norma Ahmad, 52, ke belakang rumah untuk mengutip rebung buluh madu.

Tidak kekok melakukan kerja-kerja dan tangan-tangan mereka cekap mematahkan satu persatu pucuk-pucuk rebung yang keluar daripada celahan perdu-perdu buluh madu yang tumbuh di sekeliling rumah mereka di Kampung Telok Pendiat, di sini.

Kadang-kadang terdengar suasana riuh apabila masing-masing berebut hendak mematahkan pucuk rebung sambil bergurau senda di kebun buluh madu yang diusahakan oleh bapa mereka, Nasir Hashim.

Sesekali ibunya, menjeling dan memarahi anak-anak gadis kesayangannya yang agak leka bermain, bimbang masa terbuang begitu sahaja sedangkan masih banyak rebung buluh madu belum dikutip.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Baling (SMB) ini bukan sahaja rajin membantu ibu mereka, malah mereka juga cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.

Dalam peperiksaan tersebut, kembar sulung Norain Nabihah, satu-satunya pelajar SMB yang mendapat 10A, manakala Norain Najihah, 7A, dan adik bongsu, Norain Nasuha, mendapat 9A.

Norain Nabihah berkata, mereka mula membantu memproses rebung madu ini sejak tujuh tahun lalu bagi meringankan kerja-kerja ibunya yang hanya suri rumah sepenuh masa di samping mengumpul wang perbelanjaan sekolah.

“Apabila balik daripada sekolah, kami akan tolong ibu pada waktu petang setelah menyiapkan dahulu kerja-kerja sekolah yang diberikan oleh guru supaya tidak tertangguh.

Pasangan kembar, dari kiri, Norain Najiha, Norain Nabiha dan Norain Nasuha sedang merebus rebung buluh madu di rumah mereka di Kampung Teluk Pendiat.

 

“Ibu akan ke kebun (buluh) pada waktu pagi untuk mengutip rebung buluh madu, kadang-kadang dapat lebih 15 kilogram (kg) sekali kutip jika kena dengan musimnya terutamanya pada musim hujan,” kata Norain Nabihah.

Dia dan adik-adik kembarnya yang sememangnya suka masakan rebung terutamanya kari rebung campur ayam yang ibu masak teringat kata-kata orang tua dahulu.

Jika musim hujan dan ada guruh serta kilat, lagi banyak rebung ini akan muncul, inilah peluang dia dan adik-adiknya bekerja keras mengutip dan memproses rebung madu ini untuk mendapat tambahan wang saku.

“Tidak selalu kami dapat mengutip rebung ini, ada musimnya mengeluarkan hasil yang banyak terutamanya apabila musim hujan pada bulan Jun, Julai dan Ogos, jika musim kemarau pengeluarannya agak kurang,” kata Norain Najihah pula.

Katanya lagi, dia suka proses rebung madu ini kerana mudah kerjanya, cuma buang kulit yang membalut rebung itu kemudian hiris nipis-nipis ataupun ketul-ketul kecil mengikut citarasa dan menu masakan yang diingini.

Ia sesuai untuk masakan kari rebung atau pun masak lemak cili api, juga boleh dijadikan bahan untuk kerabu atau dibuat ulam cicah dengan sambal belacan atau budu.

“Sehari kami mengambil masa dua hingga tiga jam untuk proses membuang kulit dan menghirisnya mengikut berapa banyak rebung dapat dikutip, kemudian proses merebus mengambil masa selama sejam.”

“Sejak kecil lagi kami suka tolong ibu dan ayah, kasihan ibu buat kerja seorang diri di kebun buluh madu dan ayah pula apabila pencen baharu dapat tolong ibu jaga kebun buluh madunya itu,’ kata Norain Najihah.

Katanya lagi, selain bertungkus lumus membesarkan mereka tiga beradik, mereka juga mempunyai dua abang dan seorang kakak yang masing-masing telah bekerja selepas tamat pengajian di institut pengajian tinggi (IPT).

Norain Nasuha berkata, mereka sangat gembira apabila selesai semua proses rebung madu itu ibu mereka berikan upah, meskipun tidak banyak mereka tetap gembira mengumpulnya.

“Walaupun upah tidak banyak tetapi apabila dikumpul kami boleh beli sendiri barang-barang dan keperluan diri yang kami ingini, juga guna sebagai tambahan wang saku untuk belanja di sekolah, bukan mudah ibu dan ayah mengeluarkan wang yang banyak untuk keperluan kami bertiga secara serentak.”

“Tetapi dengan sikap jimat cermat yang diasuh sejak kecil lagi, kami dapat mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh ibu dan ayah dalam usaha membesarkan kami enam beradik,” kata Norain Nasuha.

Katanya lagi, ketika menghampiri peperiksaan SPM, mereka tidak sempat membantu ibu sepenuh masa kerana masing-masing harus gigih mengulang kaji pelajaran.

Ada juga sesekali mereka membantu untuk melepaskan perasaan letih belajar bagi menghilangkan tekanan mengulangkaji pelajaran, kemudian mereka sambung semula belajar.

“Risau juga dengan panggilan untuk sambung belajar di universiti, kami kasihan sebab ibu dan ayah akan mengeluarkan perbelanjaan yang banyak dan serentak untuk kami tiga beradik sekiranya permohonan untuk masuk ke universiti diluluskan.”

“Untuk masa hadapan ada terfikir juga untuk menjadi pengusaha rebung buluh madu sebab kerja-kerja penanamannya serta penjagaannya agak mudah dan hasilnya sentiasa ada,” kata Norain Nasuha.

Kakak mereka, Norain Nabila, 25, yang baru habis belajar di Universiti Putra Malaysia (UPM) memang bercita-cita membuka ladang buluh madu, jika ia menjadi kenyataan, mereka akan membantunya.

Selepas habis peperiksaan SPM, mereka lebih giat membantu ibunya untuk memproses hasil rebung ini.

Norma pula berkata, harga jualan sekilo rebung yang sudah proses dan telah direbus ialah RM15 sekilogram, upah kepada anak-anak kembarnya itu mengikut berapa banyak hasil rebung diperoleh.

“Hasil jualan rebung ini juga dapat membeli cermin mata untuk mereka tiga beradik dan sebuah komputer riba untuk kegunaan belajar.”

“Apabila mereka dapat sambung belajar, tentu lebih perlukan banyak wang diperlukan untuk urusan pendaftaran, yuran, peralatan belajar, perkakasan diri dan sebagainya lagi.” ujarnya.

Norain Nabiha ingin menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di luar negara dalam bidang sains atau pun psikologi, kini sedang menunggu tawaran kemasukan ke Universiti Malaya dalam bidang Sains Sosial. Norain Najiha juga ingin melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam bidang undang-undang.

Tiga beradik kembar pamer prestasi cemerlang SPM 2023

Pasangan kembar (dari kiri), Norain Nabiha, Norain Najiha dan Norain Nasuha bergambar kenangan dengan ibu bapa mereka selepas menerima sijil penghargaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Baling, baru-baru ini.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Pasangan kembar tiga antara pelajar terbaik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baling dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 bercita-cita melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi meskipun terpaksa berpisah antara satu sama lain.

Kakak sulung kembar, Norain Nabiha, 18, yang mendapat 10A berkata, dia merasa amat gembira dan terharu dengan keputusan terbaik yang tidak dijangkakannya sama sekali, merupakan satu-satunya pelajar yang berjaya meraih keputusan tersebut.

“Alhamdulillah dan saya amat terharu, tidak menyangka sama sekali boleh dapat 10A untuk semua matapelajaran yang saya ambil, peperiksaan percubaan baharu ini tidak begitu memberangsangkan.”

“Saya ingin menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di luar negara dalam bidang sains ataupun psikologi, namun saya merasa amat sedih kerana akan berpisah dengan adik-adik kerana keputusan kami tidak sama,” kata Norain Nabiha.

Kembar kedua, Norain Najiha yang mendapat 7A juga tidak menyangka boleh dapat keputusan yang agak cemerlang sebaliknya menjangka memperoleh keputusan yang lebih rendah daripada itu.

“Berkat doa ibu dan ayah, dan saya telah berusaha sedaya upaya dengan adik dan kakak, masa belajar kami bersama, kakak dan adik memang bertungkus lumus belajar tetapi saya agak lambat sikit disebabkan keadaan kesihatan yang kurang baik.”

“Namun saya tidak berputus asa untuk mengejar mereka supaya kami sama-sama berjaya, saya tumpang bangga mereka lebih berjaya daripada saya, rezeki lebih menyebelahi mereka dan saya tetap bersyukur dan terima seadanya keputusan ini,” kata Norain Najiha.

Norain Najiha juga ingin melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam bidang undang-undang dan berharap impiannya untuk menjadi peguam atau hakim akan tercapai.

Kembar ke tiga, Norain Nasuha, yang mendapat 9A, pula berkata, selama ini mereka tidak pernah berenggang, makan, bermain, tidur, berjalan-jalan dan sebagainya sentiasa bersama, selepas ini mungkin mereka akan membawa haluan masing-masing.

“Sedih juga, selama 18 tahun kami begitu akrab, namun terpaksa berpisah , demi mengejar cita-cita dan masa hadapan, dan berharap suatu hari nanti kami akan bersama kembali.”
“Saya juga tidak menyangka dapat 9A, dan 1B+, saya juga buat rayuan semak semula Matematik Tambahan itu dan berharap ia juga bertukar menjadi A, saya juga mohon belajar di Universiti

Kuala Lumpur (UniKL) dalam bidang sains dan teknologi dan ingin melanjutkan pelajaran ke luar negara,” kata Norain Nasuha yang bercita-cita menjadi doktor pakar mata.

Katanya lagi, ketika belajar ada juga mereka bergaduh terutamanya untuk mempertahankan pendirian masing-masing, namun akhirnya mencapai kata sepakat apabila dapat menyelesaikan sesuatu masalah itu.

Mungkin selepas ini mereka bertiga akan berpisah, merasa amat sedih, namun turut merasa teruja kerana selepas ini masing-masing akan berdikari dan harap semua impian mereka akan menjadi kenyataan suatu hari nanti.

Sementara itu, ibu mereka Norma Ahmad, 52, turut berasa gembira dan bersyukur kerana kembar tiganya yang merupakan anak-anak bongsu daripada enam beradik berjaya mendapat keputusan cemerlang.

“Saya rasakan mereka ini yang paling senang dijaga, tidak perlu disuruh-suruh atau dipaksa untuk belajar, semuanya atas kemahuan mereka sendiri.”

“Sejak sekolah rendah, mereka tidak begitu menonjol berbanding dua abang dan seorang kakak mereka yang masing-masing berjaya mencapai keputusan cemerlang sejak awal persekolahan lagi,” kata Norma.

Katanya lagi, tiga beradik ini hanya menonjol kecemerlangan mereka sejak masuk ke sekolah menengah dan mereka sering menjadi tumpuan pihak sekolah untuk mencapai antara 10 pelajar yang mendapat keputusan terbaik.

Dia juga tidak menghalang kemahuan anak-anaknya untuk belajar, walaupun rasa sedih kerana akan berpisah, namun doa dan harapan sentiasa dititipkan untuk mereka supaya sentiasa dilindungi Allah dan masing-masing berjaya mencapai cita-cita. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN