Minat menjadi pendorong utama sekumpulan pelajar Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM) membangunkan sendiri kereta lumba untuk menyertai pertandingan perlumbaan Formula SAE Jepun 2024 (FSAEJ 2024) di Tokoname City, Aichi, Jepun.
Pelajar berkenaan sangat teruja bersaing dalam perlumbaan tersebut mendorong mereka membangunkan sendiri kenderaan Enjin Pembakaran Dalaman (ICE) dinamakan Putra 1.
Kumpulan pelajar berkenaan menerusi pasukan Putra Motorsport Team (PMT), yang melibatkan 44 pelajar bidang Kejuruteraan Mekanikal Fakulti Kejuruteraan UPM.
Dua kategori utama dipertandingkan ialah Enjin Pembakaran Dalaman (ICE) dan kenderaan elektrik (EV), dengan lebih 100 pasukan, termasuk 67 pasukan ICE dan 36 pasukan EV akan bersaing selama enam hari, bermula 9 hingga 14 September ini.
Seorang ahli pasukan PMT, Aliman Zafran Yuslaimi, 23, berkata, motivasi utama mereka menyertai pasukan tersebut didorong oleh minat mendalam terhadap bidang automotif dan keinginan mendapatkan pengalaman praktikal yang sukar diperoleh menerusi kuliah biasa.
Katanya, melalui projek tersebut pelajar dapat terlibat dalam proses pembuatan dari awal hingga akhir yang memberi mereka kelebihan dalam kerjaya pada masa hadapan.
“Peluang untuk membangunkan sebuah produk yang kompleks dari awal adalah pengalaman yang sangat berharga dan memberikan kepuasan tersendiri.
“Selain itu, pengalaman bekerja dalam pasukan yang mensimulasikan persekitaran industri sebenar adalah pendedahan yang sukar didapati di tempat lain,” katanya kepada Utusan Pelajar.
Tambahnya, pembangunan kereta formula tersebut memerlukan perancangan teliti bagi menterjemahkan idea-idea lukisan komputer atau reka bentuk digital ke realiti.
“Kami melaksanakan pelbagai siri analisis untuk memastikan kereta memenuhi standard yang ditetapkan oleh penganjur. Kesemua proses ini melibatkan kemahiran teknikal dan pengurusan pelajar,” jelasnya.
Selain itu, Eugene Lim Zen Tao, 23, berkata, pengalaman yang diperoleh dengan menyertai projek tersebut sangat berharga kerana ia membantu pelajar mengasah kemahiran menyelesaikan masalah dengan lebih baik melalui cabaran praktikal yang dihadapi.
Menurutnya, mereka juga dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi dengan bekerja dalam pasukan dan berinteraksi dengan pelbagai pihak.
“Projek ini banyak memberi pendedahan dalam industri dan pemahaman yang mendalam tentang amalan dan keperluan sebenar dalam bidang yang kami pelajari.
“Kami bukan sahaja dapat pengalaman yang praktikal, namun dapat menunjukkan kemampuan dalam menyelesaikan masalah dan bekerjasama secara efektif,” katanya.
Zen Tao berkata, pasukan PMT menetapkan matlamat untuk berada dalam kelompok 40 terbaik, sebagai usaha untuk memperbaiki pencapaian tahun lalu iaitu mereka berada di kedudukan ke-63 daripada 90 pasukan, ” ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Penasihat PMT, Prof. Madya Dr. Abdul Aziz Hairuddin berkata, melalui pertandingan itu, pelajar akan memperoleh pengetahuan tambahan dan mengasah bakat mereka secara berterusan untuk digunakan pada masa hadapan.
Beliau berharap pertandingan itu memberi lebih banyak pendedahan kepada pelajar dan memperkenalkan UPM ke peringkat antarabangsa.
Dalam pada itu Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, penglibatan pelajar UPM dalam perlumbaan antarabangsa menjadi platform bagi menggilap bakat pelajar dengan kemahiran terkini di peringkat antarabangsa.
“Pelajar harus sentiasa bersedia mendepani cabaran yang akan datang dan perlu berani dan kreatif dalam meneroka ilmu serta inovasi baharu agar kepakaran kekal relevan untuk diaplikasikan di industri kelak,” katanya.
Abdul Aziz juga berharap melalui pertandingan itu, pelajar akan memperoleh ilmu tambahan dan mengembangkan bakat dari semasa ke semasa untuk dimanfaatkan di masa depan.
Selain 44 pelajar pasukan tersebut turut dibantu oleh 13 penasihat teknikal daripada kalangan staf.
Kereta lumba UPM, Putra 1 telah dibangunkan dengan menggunakan enjin daripada motorsikal Yamaha MT07 yang mempunyai kapasiti 689 kuasa kuda pada 9000 rpm dan daya kilas sebanyak 68 Nm pada 6500 rpm.
Ketua Kumpulan, Chiew Weng Lam, 23, berkata pembangunan kereta formula tersebut melibatkan perancangan yang sangat teliti dan idea tersebut kemudiannya diterjemahkan ke dalam bentuk lukisan berkomputer.
Tambah beliau, rangka kereta dibangunkan menggunakan keluli kromoly dengan struktur badan kereta daripada gentian karbon dengan anggaran berat kereta sekitar 320 kilogram (kg).
“Proses fabrikasi kemudian dilakukan sehingga kereta selesai dibangunkan serta melibatkan pelbagai peralatan canggih antaranya mesin kimpalan canggih, mesin larik, CNC dan juga mesin pencetak 3D,” katanya. – UTUSAN