KUALA NERUS: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyemarakkan lagi kempen kibar Jalur Gemilang melibatkan komuniti orang asli Kampung Sungai Berua sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-67.
Program penghayatan kemerdekaan itu bertujuan menyuntik rasa cinta terhadap negara serta menghargai pengorbanan generasi terdahulu yang telah berkorban untuk menuntut kemerdekaan.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, Prof. ChM. Dr. Marinah Mohd Ariffin berkata pelbagai pengisian sambutan bulan kemerdekaan yang dilaksanakan oleh universiti itu bagi menyuburkan semangat patriotik di kalangan masyarakat khususnya pelajar.
“Selain menyantuni masyarakat Orang Asli di kampung ini, kita turut mengedarkan Jalur Gemilang dan barangan keperluan lain.
“Kita juga menerapkan budaya membaca kepada pelajar-pelajar orang asli melalui sesi bercerita supaya menarik minat komuniti itu untuk menimba ilmu, “ ujarnya.
Katanya, UMT bukan sahaja memfokuskan bidang akademik, malah turut melibatkan komuniti untuk manfaat bersama.
“Melalui program seumpama ini, kita harap dapat menyemai nilai murni serta semangat patriotik dalam kalangan komuniti Orang Asli serta mendorong mereka untuk lebih menghargai ilmu pengetahuan sebagai asas pembangunan komuniti, “ ujarnya.
Selain itu, tambahnya, program terasebut juga menyediakan pelbagai aktiviti yang menggalakkan interaksi antara warga UMT dan komuniti Orang Asli, sekali gus memperkukuhkan hubungan silaturahim dan kefahaman antara kedua-dua pihak.
Menurutnya, hubungan UMT dengan suku kaum Semaq Beri Kg. Sungai Berua telah terjalin hampir lima tahun lalu dan proses pemindahan ilmu telah dilaksanakan.
“Kita sedar berkenaan isu keciciran komuniti Orang Asli di sekolah dan kita telah cuba bantu masyarakat Orang Asli Kg. sungai Berua dengan membina Jungle School melalui Institut Biodiversiti
Tropika dan pembangunan Lestari (IBTPL) UMT dalam mengembleng usaha membantu memupuk minat belajar dalam kalangan anak-anak Orang Asli di sini.
“Ini selari dengan tuntutan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu SDG 4 (Menjamin pendidikan menyeluruh dan sama rata serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat kepada masyarakat), ” katanya. – UTUSAN