Bagi memupuk dan menanam semangat patriotik serta menyemai erti kemerdekaan sejak peringkat awal, pelbagai pendekatan dan aktiviti bersempena bulan kemerdekaan dianjurkan pihak sekolah.
Ia juga dilaksanakan Sekolah Kebangsaan (SK) Bintong, Kangar Perlis yang mengambil pendekatan berbeza dan unik bagi menanam semangat patriotik dalam kalangan murid itu.
Sempena sambutan bulan kemerdekaan tahun ini, antaranya guru-guru SK Bintong telah berganding bahu menghasilkan Jalur Gemilang bersaiz gergasi yang digantung pada bangunan sekolah berkenaan untuk memberi keterujaan kepada murid-murid sekolah tersebut.
Menerusi penghasilan ini juga, sebanyak 56 helai Jalur Gemilang telah dijahit dan dicantumkan bersama sehingga membentuk saiz yang besar.
Guru Besar SK Bintong, Zairi Bakar berkata, cetusan idea bagi menghasilkan Jalur Gemilang itu bermula menerusi perbincangan antara guru-guru bersama kakitangan sekolah berkenaan dalam memberikan ‘faktor wow’ kepada murid-murid.
Dalam perkembangan sama, Timbalan Pengarah (Sektor Pembangunan Murid) Jabatan Pendidikan Perlis, Che Rasaidi Che Yob, berkata, penganjuran sambutan kemerdekaan dan penghasilan Jalur Gemilang gergasi itu merupakan usaha terbaik dilakukan oleh guru-guru dan pengurusan sekolah berkenaan. – UTUSAN