PETALING JAYA: Pempengaruh dan usahawan, Adib Aidil, tidak menafikan telah mengenali penyanyi, Iman Troye, secara rapat sejak setahun yang lalu.
Jelas Adib atau nama penuhnya, Abdul Adib Aidil, 25, hubungan tersebut bermula apabila mereka saling mengikuti media sosial dan berbalas mesej.
“Saya sudah mengenalinya sejak tahun lalu. Sejak saya tular, kami saling mengikuti laman sosial dan mula berbalas stories (InstaStory).
“Kalau saya ada buat hantaran mengenai kerja, dia akan sokong, saya pun begitu.
“Boleh dikatakan kami berkawan rapat,” katanya.
Adib berkata demikian bagi mengulas mengenai kemesraannya bersama Iman Troye yang menjadi bahan bualan warganet baru-baru ini.
Sementara itu, Adib menyifatkan Iman sebagai seorang gadis yang baik namun enggan meletakkan harapan terlalu tinggi bila ditanya mengenai jodoh.
“Iman seorang yang baik. Dia sokong kerjaya saya sebagai seorang juruterbang dan kerja lain-lain yang mungkin kurang masa (bersama).
“Mahu berkata lebih takut tidak menjamin apa-apa. Minta semua doakan yang terbaik,” jelasnya menerusi sebuah video temu ramah yang tular.
Terdahulu, penampilan Adib dalam video muzik lagu terbaharu Iman Troye, Bunga Kemboja mencuri perhatian ramai.
Mengintai ruangan komen, ramai yang menyukai gandingan itu dan berharap agar mereka bercinta di dunia nyata.