Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sawa, di sini mencipta sejarah apabila menjadi juara dalam satu daripada dua kategori yang dipertandingkan dalam Youth Aerospace Award at MyAero 2024’ di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sekolah tersebut menjadi juara peringkat kebangsaan dalam kategori Innovate, Design and Visualise dalam pertandingan berprestij itu.
Guru pembimbing, Badrul Hisyam Zakaria berkata, kemenangan itu membolehkan sekolah berkenaan membawa pulang hadiah wang ringgit bernilai RM1,000 dan trofi.
Menurutnya, sekolah itu juga memenangi hadiah pakej Program Pemerkasaan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) serta TVET (Latihan Teknikal dan Vokasional) berkaitan aero angkasa oleh industri dan institusi pendidikan di sekolah pada sesi pembelajaran tahun 2025.
“Kemenangan ini adalah bukti kecemerlangan dan keupayaan pelajar dari sekolah kategori luar bandar untuk sama-sama bersaing di peringkat kebangsaan yang diwakili sekolah hebat termasuk Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Berprestasi Tinggi dari seluruh negara,” ujarnya. – UTUSAN