Senario bakal adakan showcase di Melaka, tribute arwah Hamdan - Utusan Malaysia

Senario bakal adakan showcase di Melaka, tribute arwah Hamdan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kumpulan Senario, bakal mengadakan persembahan tribute khas buat ahlinya, Hamdan Ramli yang meninggal dunia Januari lalu akibat jangkitan kuman.

Menerusi showcase muzikal komedi Senariounion, kesemua ahli Senario iaitu Wahid, Lan Pet Pet, Saiful Apek, Azlee, Yassin, dan Pak Ya bakal kembali berkumpul sekali gus meraikan anugerah Pencapaian Sepanjang Zaman yang pernah diterima mereka sedekad lalu.

“Kami tidak lupa kepada sahabat kami yang sudah tiada. Dalam showcase itu nanti, kami akan adakan persembahan penghargaan buat Allahyarham Hamdan.

“Kita sama-sama mengimbau balik nostalgia suatu ketika dulu bersama arwah, sebab banyak konsert sudah kami jayakan bersama,” kata Apek.

Senario ditemui Utusan Malaysia di sidang media showcase Senariounion di Park Inn By Radisson, di sini, pada Sabtu.

Mula mengorak langkah dalam bidang seni sejak 1996, Senario bersyukur kerana kehadiran mereka masih diterima hebat oleh peminat daripada pelbagai generasi.

Menurut Apek, walaupun Senario telah melalui pelbagai evolusi dengan ahlinya yang bertukar ganti, namun ukhuwah mereka sebagai sahabat masih kuat dan menjadi resepi kejayaan hingga kini.

“Sebenarnya Senario ada tiga ‘batch’, yang pertama adalah ketika ada Pak Ya dan arwah Hamdan, kedua adalah ketika saya dan Yassin sertai, kemudian kami semua bersama.

“Tapi orang luar memang tengok kami sebagai sebuah kumpulan, sebaliknya kami adalah sahabat baik dan juga keluarga. Kami tak pernah terfikir pun 28 tahun akan datang ini kami akan berada di sini. Ini juga satu perjalanan kami dan juga diari kami.

“Selagi kami masih sihat, walaupun baru-baru ini ada sahabat yang tak sihat tapi Alhamdulillah ramai yang masih menyayangi kami. Dengan keberkatan itu, kami teruskan legasi kami,” katanya.

Sementara itu, Yassin yang juga selaku penganjur bersama dari Yasstar Empire itu berkata dia sangat terharu dan gembira apabila pihak Panggung Bangsawan berminat untuk menjemput kumpulannya mengadakan persembahan di sana.

“Alhamdulillah kami diberi kepercayaan oleh Panggung Bangsawan dan abang-abang saya di sini untuk mengadakan showcase ini.

“Sebenarnya, pada 1 Jun lalu saya dipelawa bertugas sebagai pengacara di Panggung Bangsawan, dan selepas acara saya dapat khabar gembira di mana peminat mahukan Senario buat persembahan di sana.

“Terima kasih dan insyaAllah kami akan cuba buat yang terbaik menerusi show yang dijangka berlangsung selama dua jam itu,” katanya.

Showcase Senariounion yang menjanjikan persembahan menggamit memori era kegemilangan kumpulan lawak itu akan diadakan di Panggung Bangsawan, Melaka, pada 31 Ogos depan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN