JERANTUT: Setiap kali menjelang sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos, lazimnya semua sekolah mengadakan sambutan dengan mengibarkan Jalur Gemilang menerusi pelbagai aktiviti kokurikulum dan koakademik mahu pun sewaktu sesi pembelajaran di kelas serta hiasan landskap berasaskan bendera Malaysia.
Begitu juga dengan 95 orang murid Orang Asli etnik Jahut Semai dan 13 orang guru sekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kiol, Jerantut di sini turut mengadakan program sambutan Bulan Kebangsaan 2024 sempena sambutan hari ulang tahun kemerdekaan negara.
Pentadbir sekolah dan guru juga menyusun acara menarik, iaitu nyanyian lagu patriotik, mendeklamasi sajak, pengkisahan sejarah kemerdekaan dan berakhir dengan kibaran Jalur Gemilang secara beramai-ramai.
Lebih menarik dan mengujakan murid di situ, apabila bekas Guru Besar sekolah tersebut, Abd. Manaf Mat turut hadir dengan menyumbangkan sebanyak 150 helai bendera Malaysia untuk memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan 2024 tersebut.
Guru Besar SK Sungai Kiol, Jerantut, Mohd. Rosdi Mohd. Diah berkata, program itu selari dengan hasrat Kementerian Pendidikan untuk menyemai nilai patriotisme berasaskan tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, iaitu ‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’.
“Kita melaksanakan program bercorak patriotisme yang boleh menyemai pemikiran dan mengubah sikap murid Orang Asli di sini menerusi falsafah kemerdekaan dan mengenang jasa para pejuang terdahulu sehingga negara ini memperoleh kemerdekaan 67 tahun lalu.
“Program ini mendapat sambutan yang baik dalam kalangan murid malahan saya menghargai kehadiran bekas Guru Besar, Abd Manaf Mat yang turut menyumbangkan 150 bendera Malaysia bagi memeriahkan sambutan kali ini,” katanya kepada Utusan Pelajar di Sungai Kiol di sini, baru-baru ini.
Sementara itu, Abd Manaf berkata, kehadirannya semata-mata untuk memberikan galakan serta suntikan semangat patriotisme dalam kalangan murid Orang Asli etnik Jahut di situ selepas bersara 10 Januari tahun ini.
“Sumbangan bendera ini dapat menerapkan nilai patriotisme ini bagi merangsang murid Orang Asli belajar bersungguh supaya mampu menjadi tenaga profesional dalam semua bidang termasuk sebagai pemimpin akan datang,” ujarnya.
Abd. Manaf yang pernah bertugas di situ pada September 2022 sehingga 10 Januari 2024 berkata, sambutan ulang tahun kemerdekaan serta ke-67 pada 31 Ogos ini sebagai platform bagi menjana mentaliti serta jati diri murid Orang Asli menerusi penghayatan sejarah perjuangan negarawan yang lepas.
Murid Tahun Lima. Erin a/p Ajis berkata, dia berbangga serta seronok bersama rakan kerana menjelang 31 Ogos menerusi acara sambutan Bulan Kebangsaan 2024 disertai amat meriah dan berpengetahuan di sekolah itu.
“Nasihat guru cukup memberikan semangat patriotisme kepada kami lebih lagi penghayatan sejarah kemerdekaan negara serta tokoh pejuang lalu dan negarawan Tunku Abdul Rahman,” katanya.
Ujarnya, sambutan setiap tahun serta kibaran Jalur Gemilang memberikan semangat supaya dia belajar bersungguh-sunggu sehingga ke peringkat yang lebih tinggi. – UTUSAN