PETALING JAYA: Pengacara, Sean Lee, akan mempertimbangkan sebarang tawaran kempen yang memintanya menghasilkan kandungan media sosial bersama isteri, Bay Doucet.
Keputusan itu diambil kerana Sean tidak mahu hubungannya bersama isteri menjadi sebuah pekerjaan kerana harus mengejar tarikh melunaskan komitmen kandungan kempen.
“Saya tidak mahu terburu-buru ambil sebarang tawaran kempen yang meminta untuk muncul bersama isteri. Saya akan pertimbangkan terlebih dahulu.
“Dari awal lagi, kami memilih untuk ‘low key’ di media sosial sebagai usaha untuk kekalkan hubungan ini agar sentiasa sihat.
“Privasi memberi ruang kepada kami untuk bina asas penting dalam perhubungan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sesi fotografi, di sini, baru-baru ini.
Senada dengan Sean, Bay yang juga seorang model dan pempengaruh tidak menafikan terdapat pembuat kandungan menghasilkan video bahagia bersama pasangan kerana terpaksa.
“Apa yang saya perhatikan, ada pasangan merasakan kandungan yang mereka mahu tunjuk di media sosial jauh lebih penting daripada hubungan mereka di dunia nyata.
“Kami tidaklah mahu ambil sahaja semua tawaran kempen ditawarkan mana-mana jenama.
“Saya tidak mahu ada situasi di mana sebelum makan malam, kami kena fikir kandungan apa yang belum dimuat naik dan sebagainya,” katanya.
Sebelum ini, Sean Lee dan Bay meraih pujian apabila berjaya mengekalkan hubungan percintaan yang dijalani secara rahsia selama lapan tahun sebelum berkahwin.
Kata sepakat itu diambil kerana tidak mahu orang luar memberi impak terhadap hubungan percintaan selain menghormati privasi Bay dan keluarga.
Pada 7 Julai lalu, Sean dan Bay selamat bergelar suami isteri dalam majlis perkahwinan tertutup yang dihadiri keluarga dan rakan terdekat. -UTUSAN