Saya tidak pernah cakap mahu undur diri jadi pelawak - Pak Ya - Utusan Malaysia

Saya tidak pernah cakap mahu undur diri jadi pelawak – Pak Ya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelawak dan pelakon, Illya Senario atau Pak Ya menafikan dakwaan kononnya mahu bersara daripada dunia hiburan seperti dilaporkan beberapa pihak.

Menurut Pak Ya atau Ilya Buang Shaharum, 57, dia tidak akan meninggalkan dunia lawak walaupun kini mempunyai kerjaya baharu sebagai mutawif.

“Sebenarnya saya tak tahu mana datang salah faham ini, saya tidak pernah kata nak mengundurkan diri.

“Cuma saya katakan, saya bersedia untuk undur diri sebab kerjaya sebagai artis akan ada penghujungnya.

“Saya tidak mahu penghujung kerjaya saya nanti terkapai-kapai seperti yang pernah terjadi pada pelawak-pelawak lain sebelum ini.

“Bila kita tiada kerja, kita terpaksa mohon bantuan dari orang lain. Selalunya permohonan itu mengecewakan,” katanya.

Pak Ya ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang media Senariounion di Park Inn By Radisson, pada Sabtu.

Bercerita lanjut mengenai keputusannya menjadi mutawif, pelakon Sumpahan Syaitan itu mengakui tidak menyangka niat asalnya yang mahu menunaikan haji melorongkannya kepada rezeki lebih besar.

“Saya akui dulu pernah ditawarkan sebagai mutawif tapi syaratnya agak ketat di mana saya kena fasih bahasa Arab dan umur tidak lebih 40 tahun. Jadi tidak dapatlah saya buat.

“Tapi sekarang ada pula kursus lain dengan syarat lebih longgar, jadi saya diberikan peluang.

“Hasrat nak jadi mutawif ini sudah lama dan saya pun pernah jumpa Shamshul Ghau Ghau untuk dapatkan nasihat.

“Alhamdulillah ada rezeki saya. Asalnya saya hanya buat rayuan kerana mahu menunaikan haji,” katanya yang kini sedang menghadiri khursus persediaan mutawif selama tiga bulan.

Sementara itu, Pak Ya turut berpendapat kerjayanya sebagai mutawif dan pelawak tidak jauh beza kerana sama-sama bertujuan menyebarkan kebaikan.

“Pada saya dunia lawak adalah dunia tabligh. Bila kita buat lawak, orang nampak mesej di sebaliknya.

“Itu yang saya selalu berpesan pada kawan-kawan, kenapa artis, pelakon atau pelawak jadi penyebar dakwah, tapi kenapa ahli sukan tidak?

“Sebab kita menyampaikan benda yang baik dan insyaAllah bila kita menyampaikan benda yang baik, Allah balas,” katanya.

Terdahulu, timbul desas desus mengatakan Pak Ya bakal bersara daripada dunia hiburan kerana mahu menjalani kerjaya barunya sebagai mutawif. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya