Pernah putus cinta, bertemu kembali selepas sembilan tahun - Utusan Malaysia

Pernah putus cinta, bertemu kembali selepas sembilan tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ratu rock, Ella, mendedahkan lagu ‘Mendung Tak Bererti Hujan’ yang dinyanyikan semasa konsert adalah simbolik pasang surut percintaan selama sembilan tahun bersama suami, Azhar Ghazali.

Dedah Ella atau Nor Zila Aminuddin, 58, sebelum bergelar suami isteri, dia dan Azhar pernah berada di fasa menghilang daripada kehidupan masing-masing selama sembilan tahun kerana hubungan ditentang keluarga akibat faktor usia.

“Kami bercinta dan putus, berpisah dalam diam.

“Saya tidak tahu dia di mana dan dia tidak mencari atau menghubungi saya,” kata Ella.

Ella ditemui Utusan Malaysia di sidang media selepas konsert Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia, di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada Jumaat.

Mengakui dirinya sangat kecewa kerana tidak dapat meneruskan percintaan pada ketika itu, Ella bagaimanapun bersyukur kerana takdir mempertemukan mereka kembali beberapa tahun selepas itu.

“Cinta terlalu kuat. Ada ketikanya saya rasa sudah seperti tiada harapan untuk bersamanya. Saya sebenarnya hancur, tapi tetap teruskan perjalanan hidup.

“Saya tidak sangka Allah itu Maha Kaya dan temukan kami kembali. Sampai suatu ketika kami berdua sama-sama mencari.

“Sebelum pergi umrah dia ada telefon cakap nak doakan saya. Ketika itu, sebulan saya tidak boleh tidur malam. Makan tak kenyang, mandi tak basah,” ujar Ella yang berbeza usia lebih sedekad dengan suaminya.

Tersenyum mendengar pendedahan itu, suaminya turut tidak menyangka bahawa jodoh mereka kembali bertaut selepas bertemu kembali.

“Sepanjang saya berumur 21 tahun sampai 30 tahun, memang hubungan kami putus dan sambung. Kami berdua rasa mungkin hubungan ini sesuatu yang mustahil.

“Namun sudah tertulis bahawa cinta tidak boleh dipisah oleh jarak umur. Kami terus berkawan dan mengenali antara satu sama lain.

“Akhirnya, pada tahun kesembilan, kami bersatu selepas mengharungi pelbagai dugaan daripada rakan dan keluarga,” cerita Azhar.

Dalam pada itu, menurut Azhar, ‘Mendung Tak Bererti Hujan’ juga didendangkan bagi memberi penghormatan kepada penyanyi asal lagu tersebut Deddy Dores, demi memastikan lagunya terus didengari generasi seterusnya.

Dalam konsert yang berlangsung semalam dua malam dan dihadiri 6,000 penonton, Ella menyanyikan lebih 30 buah lagu termasuk Dua Insan Bercinta, Nuri, Retak dan Sembilu.

Memandangkan tiket konsert Ella di Kuala Lumpur terjual sepenuhnya, penyanyi itu bakal membawakan persembahan ini ke Singapura pada 12 Oktober ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya