Naratif kemiskinan di Sabah

Naratif kemiskinan di Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar dalam nada sinis mengajak Menteri Ekonomi Rafizi Ramli supaya melawat Sabah bagi meninjau sendiri insiden kemiskinan di negeri itu.

Sebenarnya Pengerusi UMNO Sabah itu berkata demikian susulan kenyataan Rafizi bahawa kemiskinan tegar di Sabah direkodkan enam kali ganda atau pada kadar 1.2 peratus berbanding kadar nasional sebanyak 0.2 peratus.

Rafizi berkata, rekod itu berdasarkan Laporan Tinjauan Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah 2022, menunjukkan kadar kemiskinan tegar di lapan daerah di negeri itu lebih tinggi berbanding kadar nasional.

Rafizi memberitahu, Tongod mencatat kadar kemiskinan tegar tertinggi iaitu 5.9 peratus diikuti Beluran iaitu 5 peratus, Pitas (4.8 peratus), Kinabatangan (4.6 peratus), Kota Marudu (4 peratus), Tuaran (2.6 peratus) serta Ranau dan Lahad Datu masing-masing 2.4 peratus.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang juga Ahli Parlimen parti Warisan daripada Semporna berhubung jumlah keseluruhan miskin tegar di Malaysia dan lapan daerah di Sabah dikategori termiskin di Malaysia serta inisiatif dan bantuan yang diberi kepada mereka.

Rafizi berkata, jurang perbezaan tersebut dilihat besar kerana kadar kemiskinan tegar di seluruh negara berkurang daripada satu peratus pada 2020, kepada 0.2 peratus bersamaan 18,445 isi rumah pada 2022.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan meluncurkan Pangkalan Data Utama (PADU) bagi mengenal pasti mereka yang layak diberi bantuan dan perbincangan dengan kerajaan negeri Sabah juga diadakan.

Katanya, Sabah sangat terkehadapan dalam memberi tanah untuk diusahakan, menyaksikan 390 keluarga miskin tegar mengusahakan 203.96 hektar tanah di lapan daerah di Sabah melibatkan tanaman seperti nanas, cili fertigasi, jagung dan kacang soya.

“Kalau dilihat kepada prestasi IPR-INTAN di tempat lain, pendapatan bulanan bagi tuaian pusingan pertama RM2,200 hingga RM5,600 sebulan. Kalau kita berjaya ulangi ini di Sabah, maksudnya setiap keluarga miskin tegar yang sertai inisiatif ini dalam tempoh dua tahun boleh keluar daripada miskin tegar,” katanya.

Pemimpin Sabah seperti Mohd. Shafie secara terus menerus membangkitan isu kemiskinan di negeri tersebut tetapi kadangkala terpalit ke muka sendiri apabila ada pihak membangkitkan apa yang beliau lakukan semasa menjadi ketua menteri sebelum ini.

Mohd. Shafie berkata, isu miskin tegar Sabah yang berjaya dinoktahkan sebagai satu naratif palsu.

Mohd. Shafie berkata, pengumuman yang dibuat oleh Ketua Menteri seolah-olah mengabaikan gambaran sebenar mengenai masalah kemiskinan tegar di Sabah.

Beliau berkata pengumuman, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang mendakwa kemiskinan tegar di Sabah berjaya dibasmi namun, keesokan harinya satu lagi kenyataan dikeluarkan menunjukkan kemiskinan tegar di Sabah belum dihapuskan sepenuhnya.

Sehingga hari ini, lapan daripada 10 daerah termiskin di Malaysia terletak di Sabah dan ramai antara mereka memperoleh pendapatan jauh di bawah garis kemiskinan
Mohd.Shafie berkata, terdapat keperluan mendesak untuk mencari penyelesaian mampan bagi menangani kemiskinan tegar.

Ahli Parlimen Pensiangan, Sabah daripada Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Arthur Joseph Kurup kelihatan lebih berdiplomasi dalam mengulas isu tersebut dengan berkata masalah kemiskinan adalah diwarisi.

“Bagi mengeluarkan sebuah daerah daripada kemiskinan bukan kerja mudah sebab memerlukan penglibatan dan tanggung­jawab,” ujar beliau yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan.

Arthur berkata, apa yang perlu dilakukan adalah memandang kehadapan iaitu berusaha daripada sekarang dengan mengadakan projek pembangunan yang berimpak seperti projek Lebuhraya Pan Borneo yang akan memberi nikmat lebih ramai kepada penduduk Sabah.

Projek pelebaran jalan dan pembangunan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) sebagai contoh yang dibina di Sabah memberi impak khususnya dalam penjanaan ekonomi penduduk.

Mengulas mengenai masalah infrastruktur yang daif dan jauh ketinggalan berbanding negeri negeri lain termasuk di Sarawak , beliau mengakui pembangunan infrastruktur di Sabah perlu dipercepatkan.

“Sebenarnya banyak (projek pembanghunan) di Sabah perlu catch up bagi mengurangkan jurang perbezaan tahap pembangunan dengan negeri-negeri lain, “ ujar Arthur lagi.

Beliau seperti sependapat dengan seorang lagi pemimpin politik Sabah, Tan Sri Pandikar Amin Mula yang bersetuju pembangunan kemudan infrastruktur Sabah menjadi antara perkara penting menggerakkan pembangunan di negeri itu.

Dalam pada itu Institut Pembangunan Sabah (IDS) menerusi perkongsiannya pandangan kepada saya mengakui banyak daerah di Sabah dikategorikan sebagai miskin.

Menurut IDS antara aspek yang perlu diberikan perhatian adalah pemutihan dan penyeragaman data kemiskinan di peringkat pusat dengan negeri bagi memudahkan sebarang perancangan, penyaluran, dan pelaksanaan inisiatif pembasmian kemiskinan dengan lebih berkesan.

Mengenai isu kenapa Sabah masih dikategorikan kurang maju sedangkan negeri ini sudah lama merdeka.

 

IDS berkata Sabah masih bergelut dengan penyediaan kemudahan asas bekalan elektrik, air, jalan raya, dan akses kepada Internet yang memberi kesan kepada kesejahteraan penduduk dan juga merencatkan peluang-peluang ekonomi.

Dalam pada itu dari segi kualiti pendidikan, rekod Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) pada 2022 menunjukkan daripada 1,071 buah sekolah rendah dan 221 buah sekolah menengah di

Sabah, sebanyak 54.5 peratus atau 704 buah sekolah dikategorikan sebagai daif dan memerlukan pembaikan serta penyelenggaraan segera.

 

IDS pernah menjalankan satu Kajian Mengenai Ketua Isi Rumah (KIR) miskin dan faktor-faktor penyumbang kepada Insiden kemiskinan di Sabah.

IDS sebagai konsultan kajian untuk pihak klien iaitu Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), yang bertujuan mengkaji KIR miskin di Sabah dan mengenal pasti faktor-faktor penyumbang kepada insiden kemiskinan di negeri berkenaan.

Dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap pendidikan dan kemahiran yang rendah, bilangan tanggungan isi rumah yang ramai, sumber pendapatan yang tidak menentu, keadaan infrastruktur asas, dan kebergantungan terhadap bantuan kerajaan merupakan faktor-faktor yang menyumbang kepada berlakunya insiden kemiskinan di Sabah.

Perkongsian IDS ini menunjukkan sesuatu perlu dilakukan terhadap agenda pembangunan di Sabah demi kebaikan lebih tiga juta penduduk negeri tersebut.
Mengulas isu sama, pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, Prof. Madya Dr. Firdausi Sufian yang sekarang dipinjamkan ke Invest Sabah berpendapat pemusatan projek pembangunan, di Sabah agak lewat mungkin disebabkan negeri ini besar.

Beliau bersetuju perbelanjaan pembangunan di Sabah perlu lah besar dan kerajaan perlu mewujudkan ekosistem pelaburan yang baik dengan penambahbaikan infrastruktur di negeri berkenaan. Firdaus berkata, sejak agenda Hala Tuju Sabah Maju Sabah (SMJ) diperkenalkan Sabah pertama kali merekodkan jumlah pelaburan tiga digit dua tahun berturut turut yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negeri berkenaan

Dalam masa sama, pendapatan negeri melonjak daripada RM4 bilion kepada lebih ke RM7 bilion pada 2023.

Walaupun ada pihak mempertikaikan program Sabah Maju Jaya yang dikatakan banyak papan tandanya sahaja dipamerkan di merata tempat di negeri berkenaan tetapi kerajaan negeri meneruskan momentum dalam menguruskan ekonomi seiring dengan komitmen dan semangat untuk menjayakan pelan SMJ apabila merekodkan hasil kutipan negeri berjumlah RM6.973 bilion pada tahun lepas. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN