Malas layan, cerita podcast itu banyak tokok tambah - Jep - Utusan Malaysia

Malas layan, cerita podcast itu banyak tokok tambah – Jep

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyampai radio dan pelawak, Jep Sepahtu, kesal dengan kandungan di sebuah podcast yang didakwa menceritakan perkara tidak benar mengenai dirinya.

Menerusi sebuah hantaran di Instagram, Jep atau nama sebenarnya Mohd. Nadzri Zainal Abidin, 39, turut mempertikaikan tindakan pengendali audio siar yang menjadikan dirinya sebagai bahan bualan untuk kandungan podcast.

“Sebenarnya malas mahu layan hal remeh. Tapi bila dibiar, makin seronok pula mereka sembang.

“Sudah tiada nama lain kah mahu tunggang?

“Apa yang aku boleh katakan, cerita dalam podcast itu kebanyakannya direka dan ditokok tambah,” tulisnya.

Jep turut berharap agar warganet tidak lagi bertanya mengenai isu yang dibincangkan di podcast tersebut kepadanya.

Walaupun tidak menyebut nama podcast yang dimaksudkan, namun warganet mengaitkannya dengan podcast kendalian Shuib, Shuk Sahar dan Fizie Roslan, Dol’s Podcast, yang menceritakan pengalaman awal terbentuknya kumpulan Sepah bersama tetamu, Mamat Sepah, baru-baru ini.

Dalam podcast tersebut, Shuib menceritakan bahawa sebelum menyertai pertandingan Raja Lawak, dia dan Jep sudah pun mempunyai perselisihan faham membuatkan hubungan mereka menjadi tegang.

Bagaimanapun mereka memutuskan untuk berbaik dan bersetuju menjadi satu kumpulan sebelum menyertai ujibakat program pencarian bakat tersebut.

“Di depan balai polis, aku cakap dengan Jep, kalau betul kita nak pergi uji bakat kali ini memang kita kena berbaik. Aku tidak boleh ada rasa (dendam) langsung dengan kau.

“Jika tidak, lawak yang nak ditunjukkan tidak menjadi kerana masih simpan rasa tidak sedap. Waktu itu kami putuskan untuk berbaik dan terus ke uji bakat,” kata Shuib dalam podcast berkenaan.

Sebelum ini, Dol’s Podcast pernah berhadapan kontroversi apabila Shuib seolah-olah membuka pekung menceritakan dirinya pernah terlibat dengan aktiviti perjudian.

Shuib bagaimanapun memohon maaf dan menegaskan perkongsiannya dalam podcast tersebut hanyalah bertujuan untuk memberi pengajaran.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya