PETALING JAYA: Pempengaruh, Kasih Iris Leona, menjelaskan hubungannya dengan pelakon Indonesia, Gabriel Prince, hanya sebagai kawan.
Leona yang juga anak kepada pelakon Azhar Sulaiman, memberi penjelasan itu setelah dikhabarkan bercinta menerusi beberapa video memaparkan kemesraan mereka di aplikasi TikTok.
“Sebenarnya saya hanya bergurau, saya di Jakarta bersama Rees (abang) juga.
“Kami (Leona dan Prince) hanya kawan,” jelasnya dalam sebuah video di TikTok.
Sebelum itu, dia dan Prince berjenaka kononnya bakal melangsungkan perkahwinan minggu hadapan dan menjemput pasangan penyanyi terkenal Mahalini dan Rizky Febian untuk hadir membuat persembahan.
“Kami ingin menjemput Mahalini dan Rizky Febian untuk menyanyikan lagu ‘Bermuara’ semasa majlis kami nanti,” kata Leona.
Bagaimanapun, mengintai ruangan komen, ramai yang kecewa dengan pengakuan tersebut kerana berpendapat mereka kelihatan secocok bersama.
“Sedihnya, baru nak sokong kalian. Kalian nampak comel bersama,” tulis satu komen.
“Sudah terlambat, saya baru doa Mahalini dan Rizky betul-betul nyanyi di majlis perkahwinan kalian,” kata komen yang lain.
“Alahai, biasalah, semuanya bermula dengan gurauan,” kata seorang peminat.
Terdahulu pada 2022, Leona pernah berkongsi perasaan sedih apabila bekas teman lelakinya, Ryan sudah pun mempunyai kekasih baharu selepas tiga bulan berpisah.-UTUSAN