Kesungguhan politik, ramuan mensejahterakan alam

Kesungguhan politik, kesedaran awam ramuan mensejahterakan alam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pelbagai usaha dan program kesedaran terhadap kesejahteraan alam sekitar telah dilaksana dan dirancang sama ada di peringkat masyarakat setempat, pertubuhan pertubuhan bukan kerajaan (NGOs), institusi dan agensi agensi berkaitan serta peranan yang dimainkan oleh pihak media.

Di samping itu, pihak kerajaan juga sama ada di peringkat negeri dan Persekutuan sentiasa merangka pelbagai program, kempen dan menggubal dasar yang menjurus kepada kesejahteraan alam sekitar.

Namun, isu isu membabitkan pencemaran alam, eksploitasi kawasan semula jadi, kemusnahan hutan, konflik hidupan liar dengan manusia, peningkatan pelepasan gas rumah hijau, krisis iklim dan sebagainya terus membelenggu sehingga memberi impak ketara terhadap kehidupan dan sosioekonomi di negara kita.

Malah apa yang mendukacitakan, sebahagian besar masyarakat masih tidak cakna dan alpa terhadap kesejahteraan alam sekitar dan juga impak yang boleh berlaku.

Di mana mana sahaja kita boleh melihat sampah-sarap bertaburan, longkang, parit dan sungai dijadikan tempat membuang sampah, puntung rokok dibuang merata-rata, penggunaan plastik pakai buang dan polisterin masih berleluasa, rizab sungai dan zon riparian diceroboh, hutan digondolkan.

Contoh perlakuan negatif tersebut adalah petunjuk bahawa masyarakat masih jauh lagi cintanya terhadap kesejahteraan alam sekitar dan perlu menerima hakikat bahawa kita masih gagal mendidik masyarakat.

Sebagai penggiat alam sekitar yang terlibat secara langsung di lapangan, tidak dinafikan peranan semua pihak menjayakan pelbagai usaha, program dan kempen kesejahteraan alam sekitar tetapi dilihat usaha, program dan kempen tersebut masih tidak menyeluruh kepada setiap lapisan masyarakat.

Bagi memastikan agenda kesejahteraan alam sekitar menjadi satu daripada agenda memperkasakan negara, pembuat keputusan sama ada di peringkat kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan perlu mempunyai kesungguhan politik atau biasa diungkap sebagai political will.

Apabila di peringkat pembuat keputusan mempunyai kesungguhan politik sudah tentu segala perancangan pembangunan negara akan mengambil kira agenda kesejahteraan alam sekitar yang secara tidak langsung boleh juga mempengaruhi dan merubah minda masyarakat cakna kepada kesejahteraan alam sekitar.

Paling penting, pembuat keputusan dan masyarakat harus menghayati bahawa kerosakan dan bencana di bumi adalah hasil tangan manusia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN