PETALING JAYA: Penyanyi popular era 70-an, Jay Jay, dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di Hospital Thompson Kota Damansara, Selangor pada Ahad.
Berita pemergian Jay Jay atau nama sebenarnya Mohd Fauzi Darus disahkan oleh sahabatnya yang juga penyanyi, Datuk Hattan.
“Saya baru bercakap dengan isterinya, benar arwah sudah meninggal tapi tidak pasti pukul berapa,” jawabnya ringkas.
Terdahulu pada Mei, Jay Jay disahkan mengalami masalah jantung tersumbat selepas sesak nafas ketika menaiki bas dari Singapura ke Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, keadaan kesihatannya merosot apabila diserang angin ahmar selepas menjalani pembedahan pintasan jantung.
Serangan itu membuatkan penyanyi tersebut lumpuh separuh badan namun beransur pulih selepas menghadiri beberapa sesi fisioterapi.