KUASA ekonomi Israel diakui sangat hebat sehingga berjaya menundukkan Amerika Syarikat (AS) selaku pemilik kuasa veto di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Negara haram itu malah, kata Pakar Undang-Undang Antarabangsa dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Salawati Mat Basir berjaya menjinakkan dua negara kuasa besar lain iaitu Perancis dan United Kingdom (UK) berhubung konflik di Gaza.
Situasi itu menyebabkan, segala keputusan yang termeterai di persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hanya sekadar di atas kertas sahaja.
“Tiga kuasa veto itu sangat menyanjungi Israel. Hanya Russia dan China sahaja yang tidak menyokong Israel. Bagaimanapun,jika undian masih 3-2, tetap tiga yang menang.
“Sebab itu, Israel sangat besar kepala dan tidak mempedulikan arahan gencatan senjata,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Majlis Keselamatan PBB adalah majlis yang dianggotai oleh sebilangan ahli-ahli PBB, dan lima daripadanya adalah anggota tetap yang memiliki kuasa pembatal (kuasa veto); iaitu AS, UK, Perancis, China dan Russia.
Ia merupakan organ PBB yang berfungsi untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan di kalangan negara-negara.
DEMI IMEJ NETANYAHU
Disoal Israel tidak menangguhkan serangan terhadap Hamas di Rafah, Salawati berkata, semuanya demi menjaga imej politik Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Jelasnya, Netanyahu sengaja memanjangkan tempoh perang kerana menyedari dirinya berdepan pertuduhan kes rasuah di mahkamah.
“Sudah tentu Netanyahu akan malu kalau tangguhkan perang. Digelak satu dunia nanti. Sebab itu, Netanyahu mohon lagi senjata dari AS, sebab dia sedar sudah mengalami kekalahan.
“Ramai tentera Israel bunuh diri, ada yang alami masalah jiwa serta ada yang tidak mahu kembali ke medan perang.
“Tentera Israel sendiri sudah sedar mereka kalah dengan pejuang Hamas terutamanya di Shujeiya dan Deir Al-Balah. Sampai Netanyahu mahu paksa Yahudi Kosher menyertai pasukan tentera. Ini semua demi menyelamatkan politik Netanyahu,” tegasnya.
TEWAS PERANG GERILA
Rabu lalu, Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant mengumumkan pasukan tenteranya memerlukan 10,000 askar tambahan segera di tengah-tengah perang berterusan di Gaza.
Perkara itu dimaklumkan menerusi Radio Tentera yang merujuk pengumuman Gallant semasa sesi Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negeri dan Pertahanan Knesset, pada Isnin.
Beliau dengan yakin berkata, tentera Israel boleh merekrut 4,800 askar daripada lelaki Yahudi ultra-Ortodoks.
Bagaimanapun, situasi itu sebenarnya menunjukkan tentera Israel sudah tewas dalam perang gerila di Semenanjung Gaza dan hanya berbekalkan senjata canggih dari Eropah dan AS.
Sekalipun Hamas hanya bersembunyi di sebalik terowong, katanya, tentera Israel gagal menjejak keseluruhan anggota pejuang Islam itu.
“Yang datang ke tanah Gaza bukan tentera sejati Israel, tetapi adalah Yahudi dari seluruh dunia yang hendak menyelamatkan Israel.
“Kebanyakan mereka adalah tentera simpanan yang tidak terlatih. Mereka hanya menggunakan jet pejuang dan peluru canggih untuk membunuh dan menyeksa orang awam demi melemahkan moral pejuang Hamas,” katanya.
Serangan balas rejim Zionis di wilayah terkepung sejak 7 Oktober, tahun lalu, mengorbankan 37,953 pelarian Palestin, 87, 266 yang lain cedera dan 11,000 identiti tidak dapat dikenal pasti sama ada masih hidup atau mati.