Minggu Sains Negara bantu pupuk minat STEM

Minggu Sains Negara bantu pupuk minat STEM

PENGANJURAN karnival Minggu Sains Negara memberi peluang kepada MOSTI memupuk minat bidang STEM terhadap pelajar – UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penganjuran Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2024 diteruskan pada tahun ini sejak dimulakan pada 2018 dengan sasaran memupuk minat pelajar sekolah terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam usaha membangun bakat berkemahiran bagi mencapai sasaran negara berteknologi tinggi menjelang 2030.

Usaha tersebut adalah komitmen Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi membudayakan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dalam kehidupan rakyat Malaysia secara konsisten dan berterusan. Penganjuran MSN selaras dengan Pelan Tindakan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021 – 2030 bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan STI.

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, setiap program yang disusun menyasarkan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan seperti pelajar sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi, guru, pihak industri serta orang awam.

Beliau turut memetik kajian analisis yang dijalankan oleh Pusat Maklumat Sains Dan Teknologi Malaysia (MASTIC) MOSTI bagi keputusan SPM 2023 yang lalu, menunjukkan penurunan jumlah pelajar yang menduduki subjek Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi dalam tempoh enam tahun.

Sehubungan itu, MOSTI komited menggembleng tenaga dan usaha bersama Kementerian Pendidikan dalam membudayakan STI melalui program pembudayaan STI di luar bilik darjah yang berterusan kepada kumpulan sasaran khususnya kanak-kanak dan pelajar di peringkat bangku sekolah melalui program MSN dalam memperkasakan agenda STEM.

Antara negeri yang akan turut menganjurkannya adalah Perlis, Perak, Pulau Pinang, Kelantan, dan Putrajaya. MSN 2024 akan berlangsung di seluruh negara secara hibrid melibatkan penganjuran secara karnival dan juga aktiviti dalam talian hingga Oktober 2024 kalangan masyarakat.

Bertemakan Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi dan Mengarusperdanakan Inovasi, MSN tahun ini menyasarkan penglibatan sebanyak 600,000 pelajar sekolah, penuntut institut pengajian tinggi serta asyarakat.

Maklumat lanjuit boleh layari minggusainsnegara.mosti.gov.my. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN