GEORGE TOWN: Berbaki sehari sahaja lagi sebelum berlakunya gangguan bekalan air selama empat hari bermula esok di hampir keseluruhan negeri ini, rata-rata penduduk dilihat sudah membuat persediaan awal.
Sejak minggu lalu, penduduk sudah mula membuat pembelian tangki-tangki air, malah kebanyakan kedai juga dilihat menambah stok tangki air di premis masing-masing pada kadar luar biasa.
Pelbagai pihak juga khususnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen turut menempatkan tangki-tangki air di sekitar kawasan masing-masing bagi memastikan penduduk tidak berdepan kesukaran untuk mendapatkan bekalan air kelak.
Situasi terputus bekalan air bukan sesuatu yang mengejutkan di Pulau Pinang dan sepanjang tahun lalu juga, beberapa insiden sama dilaporkan berlaku dengan terbaru pada hujung Disember lalu.
Namun, berbanding insiden sebelum ini yang berlaku secara tiba-tiba atau dengan notis singkat, ketidaan air bermula esok sudah diuar-uar lebih awal iaitu kira-kira sebulan lalu.
Walaupun dikritik pelbagai pihak, namun seperti dijelaskan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, ia tidak dapat dielakkan bagi menampung kerja-kerja penggantian injap utama di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua, Butterworth.
Ia merupakan operasi penyelenggaraan utama yang perlu dijalankan memandangkan sebahagian daripada paip itu tidak digantikan selama 50 tahun sekali gus memerlukan penggantian segera bagi mengelak kiris air yang lebih buruk pada masa depan.
Namun, apa pun kewajaran yang diberikan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, ia tidak dapat menolak hakikat kegagalan dalam pengurusan air memandangkan banyak pihak tidak mampu bertahan dengan ketiadaan air lebih daripada 48 jam.
Sektor perkilangan misalnya, sudah memaklumkan mungkin terpaksa menutup operasi kilang selama dua hari kerana tidak dapat beroperasi tanpa bekalan air.
Ini bakal melibatkan kerugian yang dianggarkan berbilion ringgit dan lebiu buruk, akan memberi tanggapan negatif pelabur antarabangsa terhadap keupayaan kerajaan negeri menangani isu asas seperti bekalan air.
Sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) khususnya yang berasaskan makanan dan minuman juga terpaksa menghentikan operasi dan bakal berdepan kerugian.
Begitu juga sektor perhotelan yang mana dikhabarkan kadar tempahan bilik untuk sepanjang tempoh empat hari terbabit merosot kerana pembatalan saat akhir disebabkan kebimbangan ketiadaan air.
Sesi persekolahan juga terpaksa dilakukan secara sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang mungkin akan menyukarkan ibu bapa yang bekerja.
Tidak hairan, banyak pihak khususnya dari sektor perniagaan kecewa dan mendesak Kerajaan Negeri Pulau Pinang lebih bertanggungjawab dalam insiden ini memandangkan kerugian besar yang terpaksa ditanggung mereka.
Barangkali kerajaan negeri boleh memikirkan satu bentuk pampasan yant wajar kepada pihak yang terjejas terbabit atau sekurang-kurangnya rebat air sebagai tanda prihatin terhadap kesukaran yang terpaksa ditanggung semua pihak.
Sedikit kelegaan apabila pihak hospital kerajaan dan swasta memberi jaminan operasi kesihatan masing-masing tidak akan terjejas kerana fasiliti berkenaan mempunyai bekalan air mencukupi sepanjang tempoh gangguan tersebut.
Keadaan pastinya akan menjadi lebih buruk sekiranya insiden ini menjejaskan operasi hospital awam atau hospital memandangkan ia berkait dengan nyawa pesakit selain fasiliti kesihatan di Pulau Pinang juga sejak sekian lama menjadi pilihan pesakit dari luar negara.
Apa yang boleh dipelajari daripada insiden ini adalah betapa terdesaknya untuk Kerajaan Negeri Pulau Pinang mempunyai pelan sokongan terhadap sumber bekalan air untuk dibekalkan kepada penduduk.
Yang jelas ketika ini adalah Kerajaan Negeri Pulau Pinang terlalu bergantung kepada Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua, Butterworth sebagai sumber bekalan air utama sehinggakan proses penggantian paip menyebabkan bekalan air terputus selama empat hari.
Bagaimana jika proses penggantian paip itu tidak berjalan seperti dirancang dan perlu memakan masa beberapa hari lagi? Adakah Kerajaan Negeri Pulau Pinang sudah cukup bersedia berdepan dengan risiko terbabit?
Bagi penduduk Pulau Pinang, mereka terlalu berharap insiden terputus bekalan air tidak terus menjadi acara tahunan dan perlu diselesaikan segera.
Kerajaan negeri perlu lebih agresif mencari alternatif bagi memastikan tidak akan berlaku lagi gangguan bekalan air pada masa depan.
Dengan kapasiti sebagai negeri yang sealiran dengan Kerajaan Pusat, kerajaan negeri perlu terus mendesak supaya perjanjian pembekalan air terawat ke Pulau Pinang melalui Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak (SPRWTS) dapat dimuktamadkan dan dilaksanakan segera.
Insiden ketiadaan air yang berulang pada masa depan bukan hanya menyusahkan banyak pihak khususnya penduduk, malah menyebabkan kerugian besar khususnya kepada sektor perkilangan dan sektor berkaitan pelancongan.
Ia juga akan memberi imej buruk dan menimbulkan persoalan terhadap kecekapan barisan pengurusan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang nampaknya terus bergelut hanya untuk menyediakan keperluan asas iaitu air kepada penduduk.