Benarkah Jokowi gila kuasa?

Benarkah Jokowi gila kuasa?

JOKO Widodo (paling kanan) ketika meraikan majlis perkahwinan anak sulungnya, Gibran Rakabuming Raka (tiga dari kiri) dalam satu majlis di Surakarta, Solo, Jawa Tengah pada November 2015. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini, kecoh media Indonesia melaporkan Presidennya, Joko Widodo (Jokowi) mungkin mengamalkan nepotisme atau maksudnya amalan memberi kedudukan atau kuasa kepada ahli keluarga atau saudara tanpa mengambil kira kelayakan mereka.

Isu itu timbul selepas calon Presiden Indonesia 2024, Prabowo Subianto memilih anak lelaki Jokowi, iaitu Gibran Rakabuming Raka sebagai naib presiden dalam pilihan raya Februari tahun depan.

Ramai yang mempersoalkan mengapa Gibran dipilih sebagai gandingan Prabowo sedangkan banyak lagi calon yang dianggap lebih sesuai dan berpengalaman.

Pada dasarnya, tidak ada yang salah pun mengenai keputusan Prabowo memilih Gibran, namun ia dilihat canggung kerana Gibran adalah anak Presiden Indonesia ketika ini, anak Jokowi.

Jokowi dijangka menamatkan penggal perkhidmatannya pada Oktober tahun depan sebelum tempatnya diambil alih oleh calon yang memenangi pilihan raya nanti.

Disebabkan keputusan Prabowo itu, banyak pihak bersuara dan mendakwa Jokowi sebenarnya mungkin mahu mewujudkan dinasti politik atau mengamalkan nepotisme.

Menurut penganalisis politik di Universiti Negeri Jakarta (UNJ), Ubedilah Badrun, adalah wajar tanggapan itu muncul kerana bukan sahaja Gibran rancak dalam politik Indonesia, adik ipar Jokowi, iaitu Anwar Usman juga memegang jawatan tinggi.

Usman yang merupakan suami kepada adik perempuan Jokowi sebelum ini memegang jawatan sebagai Ketua Mahkamah Perlembagaan Indonesia.

“Satu daripada bentuk nepotisme adalah dinasti politik dan tidak pelik atau tidak memeranjatkan jika Jokowi didakwa melakukan perkara tersebut,” katanya.

Ubedilah juga menyifatkan kes yang berlaku terhadap keluarga Jokowi ini sebenarnya lebih parah kerana terjadi ketika Jokowi masih bergelar Presiden Indonesia.

“Jokowi masih lagi presiden negara ini, tapi anaknya sudah menjadi calon naib presiden dan adik iparnya pula memegang jawatan tertinggi dalam Mahkamah Perlembagaan,” ujarnya.

Tanggapan dinasti politik Jokowi bermula apabila Anwar memutuskan syarat usia calon bertanding merebut jawatan presiden dan naib presiden di Indonesia boleh berusia bawah 40 tahun, asalkan mempunyai pengalaman menjadi ahli politik.

Keputusan itu dibuat Anwar menjelang pendaftaran Gibran sebagai gandingan Prabowo.

Gibran kini menjadi Datuk Bandar Solo dan usianya baru mencecah 36 tahun, jika dia menang dalam pilihan raya kelak, Gibran merupakan naib presiden paling muda di Indonesia.

NEPOTISME BUAT DEMOKRASI MEROSOT

Keputusan Anwar itu secara tidak langsung menunjukkan Jokowi dan keluarganya bertungkus-lumus mempertahankan kuasa politik mereka, biarpun Jokowi tidak lagi bergelar presiden selepas ini, janji anaknya pegang kuasa dalam kerajaan.

Dinasti politik juga menjadi cabaran terbesar dalam demokrasi sesebuah negara, lebih-lebih lagi amalan itu sudah ditolak sejak abad ke-18.

Demokrasi yang diperjuangkan Indonesia sebelum ini berisiko merudum ke tempat paling bawah jika amalan nepotisme berleluasa.

Dalam pada itu, tidak mengambil masa yang lama, Komisi Pencegahan Rasuah Indonesia (KPK) terus memanggil Jokowi untuk memberi keterangan mengenai pelan dinasti politiknya.

Selepas selesai memberi keterangan, Jokowi membuka mulut dengan menyatakan beliau menghormati semua proses KPK.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya