Akaun Najib terima £750,000 daripada 'shell company'

Akaun Najib terima £750,000 daripada ‘shell company’

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pada penghujung Jun 2014, akaun peribadi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerima £750,000 bersamaan RM4,093,500 (mengikut kadar tukaran wang ketika itu) daripada sebuah syarikat, Blackrock Commodities (Global) Limited.

Sebelum wang tersebut dikreditkan ke dalam akaun peribadi Najib yang berakhir 1880, akaun terbabit hanya mempunyai baki sebanyak RM100,000.

Menurut penganalisa Bank Negara Malaysia (BNM), Adam Ariff Mohd. Roslan hari ini pindahan wang £750,000 dibuat pada hari sama Blackrock menerima wang AS$1.89 million daripada Affinity Equity.

“Berdasarkan penyata rekod bank Affinity Equity, pada 18 Jun 2014, syarikat terbabit membuat pindahan dalaman sebanyak AS$1.89 juta dan pada hari sama akaun Blackrock turut mencatatkan penerimaan jumlah yang sama.

“Pada hari sama Blackrock menerima AS$1.89 juta daripada Affinity Equity, Blackrock telah memindahkan £750,000 kepada akaun 211-202-201188-0 atas nama AMPRIVATE BANKING – 1MY DATO’ SRI MOHD NAJIB BIN HJ ABD RAZAK’,”kata saksi pendakwaan ke-47 itu.

Menurut laporan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ), Vista Equity International Partners dan Blackrock ialah ‘shell company’ (syarikat yang hanya wujud di atas kertas) dimiliki dan dikawal oleh Eric Tan Kim Loong yang merupakan sekutu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Sekitar Jun 2022, Pengurus Bahagian Unit Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata (RENTAS) Ambank (M) Berhad, Wedani Senen memberitahu akaun Najib 2112022011880 atas kod nama AmPrivate Banking-1MY menerima £750,000 daripada Blackrock Commodities (Global) Limited pada 23 Jun 2014.

Akaun sama menerima wang daripada Vista Equity International Partners Ltd (Barbados) melalui lima transaksi iaitu £5,750,000 (19 Oktober 2014); £694,343.62 dan £2,216.01 (24 November 2014); £995,000.00 (5 Disember 2014) dan £1.26 juta (18 Disember 2014).

Adam Ariff berkata demikian ketika menjelaskan fasa keempat kemasukan wang RM2.28 bilion daripada 1MDB ke dalam akaun milik Najib.

Menurut keterangan Adam Ariff sebelum ini, wang RM2.28 bilion itu dimasukkan ke dalam akaun Najib dalam empat fasa di antara 2011 hingga 2014.

Fasa keempat ialah Fasa Opsyen Pembelian Balik yang membabitkan dua transaksi iaitu pada 23 Jun 2014, sejumlah RM4,093,500 telah dikreditkan ke dalam akaun Najib di AmIslamic Bank (akaun 1880) daripada akaun di DBS Bank, Singapura atas nama Blackrock Commodities (Global) Limited yang dikesan berasal daripada pinjaman AS$250 juta oleh 1MDB Energy Holdings Limited pada 2014.

Transaksi kedua fasa keempat itu berlaku di antara 23 Oktober dan 19 Disember 2014 yang mana sebanyak RM45,837,485.70 dikreditkan ke dalam akaun Najib di AmIslamic Bank (akaun 1880) daripada akaun di Amicorp Bank, Barbados yang mana sebahagian daripadanya berasal daripada pinjaman AS$975 juta oleh 1MDB Energy Holdings Limited pada 2014.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya