PETALING JAYA: Penyanyi dangdut, Baby Shima sekali lagi mencuri tumpuan selepas kenyataan yang disiarkan dalam Instagram Story menerima respons daripada pendakwah selebriti, PU Syed.
Menerusi hantaran itu, Baby Shima atau nama penuhnya Nor Ashima Ramli berpendapat penganjuran konsert di Malaysia tidak mempunyai sebarang masalah dan terbuka kepada sesiapa untuk pergi menonton.
“Siapa hendak tengok pergi tengok. Siapa yang kata haram jangan datang. Duduk rumah, duduk surau. Apalah susah sangat, hidup itu pilihan,” tulisnya dalam media sosial tersebut.
Hantaran itu mendapat perhatian PU Syed yang menyelar sikap penyanyi yang mengeluarkan fatwa sendiri kerana halal dan haram sudah jelas dalam agama.
“Senang sungguh jari-jemari kamu menaip pandangan songsang begini ya?
“Saya risau kamu tak faham agama, tapi bicara bab agama tentang halal dan haram akan terjerumus dalam golongan Ruwaibidhah.
“Bukankah halal dan haram itu jelas dalam agama? Hukum menyanyi, hukum konsert ada dibahaskan ulama. Jika jaga adab dan patuh syariat, silakan. Tetapi, jika sebaliknya, hentikan!” tegasnya dalam kenyataan di Instagram.