BUKAN sekali dua isu mengenai juri atau cara penjurian sesebuah program berbentuk pertandingan nyanyian menjadi bahan bualan ramai.
Lebih-lebih lagi bila kini banyak program seumpamanya seakan berlumba-lumba untuk mengejar rating tontonan tinggi di kaca televisyen dek desakan persaingan dalam dunia penyiaran itu sendiri.
Selain peserta yang bertanding, juri juga seakan perlu menggalas ‘tanggungjawab’ untuk mencipta seberapa banyak ‘drama’ yang boleh supaya program itu menjadi bahan bualan orang dan menjadi tular di media sosial.
Mahu percaya atau tidak, itulah antara realitinya. Maka tidak hairanlah, ada kalangan juri dilihat lemah dari aspek perkongsian ilmu muzik atau nyanyian sebenar sehingga terpaksa menutupnya dengan perwatakan bak seorang cikgu disiplin.
Namun, adakah kritikan berlandaskan mulut pedas itu benar-benar dapat mengajar artis yang bertanding?
Jika tidak, apa pula kriteria utama bagi individu yang layak untuk duduk di kerusi juri program nyanyian?
Angkat nilai intelektual, bukan buat penonton meluat – Adlin Aman Ramli
PERNAH duduk di kerusi juri untuk beberapa program tempatan, pengarah dan pelakon, Adlin Aman Ramli, 50, menganggap setiap individu yang dilantik untuk menjadi juri perlu sedar diri dan ruang.
Tidak menolak bahawa adakala terdapat juri berkelakuan di luar batasan sehingga gagal menerapkan nilai intelektual kerana terlalu ghairah melontarkan komen di hadapan kamera.
“Adakala kredibiliti sebagai juri itu sudah hilang fungsi dan peranannya. Semua kerana seseorang juri itu terlalu larut dengan emosi. Hendak tunjukkan betapa hebatnya dia di kerusi juri dan betapa bodohnya orang yang berada di pentas.
“Inteleklah, jangan bersifat emosi. Itu bukan ruang untuk mengajar. Kalau nak mengajar, boleh buat begitu di kelas, itu ruang lebih sesuai.
“Selain juri, penerbit program pun saya pasti, tahu apa yang berlaku. Tetapi, itulah apa yang mereka mahukan, agar program itu diperkatakan ramai, jadi tular,” katanya.
Ditanya apa pandangannya mengenai kriteria yang diperlukan untuk menjadi seorang juri, kata Adlin, dia melihat semua itu terletak kepada kemahuan stesen televisyen.
“Siapa yang paling pedas, paling membara, paling kecoh, bermulut laser dan mencipta situasi gamat, itulah kriteria yang dimahukan oleh penerbit program. Sebab ia adalah nilai yang boleh ‘dijual’ untuk meraih jumlah tontonan tinggi.
“Saya dulu pun jadi pengkritik. Mungkin saya keras tetapi tidak kurang ajar sebab kita ini orang bijak. Kena fikir, tak kira bagus mana pun kita menyanyi, tetapi jangan lupa diri nanti sifat buruk itu akan keluar,” katanya.
Dalam pada itu, Adlin yang kini baru selesai menjalani penggambaran supertele Merewang Keluarga Pak Awang turut mengakui sudah hilang selera untuk menonton program hiburan seperti itu kerana di matanya, banyak yang seakan mahu mengaibkan mana-mana pihak.
“Maaf cakap, saya dah tak tengok program sebegitu sebab meluat. Jadi benci pun ada bila nak cakap topik ini sebab energinya sangat buruk. Hentikanlah mengaibkan mana-mana pihak.
“Kalau sampai hilang rasa hormat, asas-asas dan jati diri Melayu Islam pun bagai diketepikan, buat apa?
“Semata-mata kerana mahu drama dan jadi tular? Tak perlulah komen keterlaluan hingga buat penonton pun meluat,” katanya.