SHAH ALAM: Saingan dalam Liga Super Malaysia (MSL) pada musim ini dijangka lebih kompetitif berbanding beberapa musim lalu.
Pemain pertahanan KL City, Giancarlo Gallifuoco berkata, beberapa pasukan termasuk KL City sendiri telah mengambil langkah merekrut pemain baharu, baik pemain luar negara atau tempatan bagi memperkuatkan pasukan masing-masing.
“Kita boleh lihat pasukan Sabah yang sejak musim lalu merekrut pemain tempatan berkualiti seperti Darren Lok, Baddrol Bakhtiar, Daniel Ting dan beberapa pemain lain untuk menguatkan pasukan.
“Kedah juga tidak kurang hebatnya dengan melantik jurulatih baharu, Nafuzi Zain yang umum mengetahui bahawa corak permainan yang dihasilkannya sangat menarik.
“Melihat semua ini, saya jangkakan kebanyakan pasukan dalam MSL kali ini lebih kuat, sekaligus membuatkan saingan liga kali ini lebih kompetitif,” katanya ketika ditemui pameran trofi Piala FA Emirates di Central i-City, di sini, hari ini.
Justeru itu menurutnya, kesemua pasukan mempunyai peluang untuk menjuarai liga tersebut walaupun pasukan JDT amat kuat dan berada di kelas tersendiri.
Kata Giancarli lagi, malah rakyat Malaysia sepatutnya berbangga dengan MSL kerana kualiti liga tersebut semakin kuat saban tahun.
“Bermain di beberapa pasukan dunia dan sudah dua tahun bermain dalam liga ini, saya lihat kualiti liga ini semakin baik. Bukan sahaja pemain import, malah bakat muda seperti Arif Aiman, Haqimi Azim, Mukhairi Ajmal dan lain-lain lagi telah dibentuk dengan baik melalui liga ini,” ujar pemain dari Australia itu. – UTUSAN