PUTRAJAYA: Calon Perikatan Nasional (PN) P125 Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin mengakui sudah menggerakkan jentera kempennya terus pada ‘gear lima’.
Menurutnya, beliau berharap dapat mengekalkan prestasi kempennya itu sehingga hari pengundian pada 19 November ini.
“Saya masuk kempen gear lima terus. Insya-Allah saya akan kekalkannya sampai 19 November ini. Doakan saya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kejohanan Taekwando Terbuka Putrajaya, di sini hari ini.
Katanya, selepas selesai proses penamaan calon semalam, beliau sudah menggerakkan seluruh jentera kempennya dengan menyantuni penduduk dan masyarakat sekitar.
Nombor 5 dilihat simbolik kepada perjuangan Radzi di Putrajaya terutama dalam misinya menamatkan legasi penyandang empat penggal, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Pada hari penamaan calon semalam, Radzi diumumkan sebagai calon nombor 5 dan beliau menganggap angka itu juga mempunyai signifikan bagi menamatkan dominasi parti lawan yang ‘beraja’ di sini dalam empat pilihan raya umum lalu.
Radzi berkata, beliau bukan orang asing di Putrajaya kerana sudah menetap di sini bersama keluarga sejak 2018 selepas pulang dari Australia.
Menurutnya, beliau bersama keluarga mulanya menetap di Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Larai, Presint 5, di sini sebelum pindah ke kuarters kerajaan di Presint 10.
“Saya faham dan sudah menyelamai masalah penduduk di sini sejak lima tahun lalu. Banyak masalah dibangkitkan termasuk isu pengangkutan awam, selenggara kuarters dan ruang ekonomi kepada anak muda.
“Masih banyak perkara dan ruang untuk kita tambah baik bagi melonjakkan Putrajaya di tempat yang sepatutnya. Putrajaya sepatutnya dijadikan contoh sebagai model pembangunan inklusif,” katanya yang turut enawarkan diri berkhidmat dengan naratif idea lebih segar dan pendekatan baharu kepada penduduk di Putrajaya. – UTUSAN