PUTRAJAYA: Suasana ‘panas’ kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ternyata menjejaskan minat masyarakat untuk teruja menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh.
Situasi diburukkan lagi dengan cuaca kurang baik apabila hujan lebat turun sejak lewat petang semalam yang menyebabkan tidak ramai mengambil peluang melihat kejadian nadir tersebut.
Tinjauan Utusan Malaysia di Masjid Putra di sini malam tadi malahan mendapati hanya sekitar 200 orang menunaikan solat sunat khusuf secara berjemaah selepas solat fardu Maghrib dipimpin Imam Besarnya, Salahuddin Ghozali dan kemudian turut menyampaikan teks khutbah khas bertajuk ‘Menginsafi Kekuasaan Allah’.
Pemantauan mendapati perkara sama turut berlangsung di kebanyakan masjid dan surau di negara ini malam tadi namun kurang teruja diperkatakan dalam kalangan warganet sendiri apabila lebih menumpukan kepada bencana banjir kilat di beberapa tempat susulan hujan lebat selain kempen PRU15.
Kejadian gerhana bulan itu sedangkan dapat disaksikan jelas di seluruh Malaysia mulai pukul 6.54 petang ketika bulan terbit dari bahagian ufuk dan kemudian berakhir pada 8.49 malam turut boleh disaksikan penduduk rantau tenggara Eropah, benua Asia, Australia, Amerika, Lautan Pasifik, Lautan Hindi, Lautan Atlantik, Antartika dan Artik.
Untuk kejadian kali ini, Uranus akan dikesan berhampiran bulan tetapi imej planet tersebut agak kelam untuk dilihat oleh mata dan cuma boleh disaksikan dengan penggunaan teleskop.
Kali terakhir warga Malaysia dapat melihat fenomena itu ialah pada 26 Mei tahun lalu dengan bulan tampak seperti berdarah warna kemerahan disebabkan pembiasan cahaya matahari.
Mereka yang terlepas menyaksikan kejadian gerhana bulan penuh tersebut semalam namun masih ada lagi peluang untuk melihat kembali sekali lagi pada 7 September 2025 kelak. – UTUSAN