Bersatu Melaka pening kepala jika Pas ‘merajuk’

[ANALISIS] Bersatu Melaka pening kepala jika Pas ‘merajuk’

JENTERA PN Parlimen Tangga Batu bersama calonnya, Bakri Jamaluddin menyantuni para peniaga di Parlimen berkenaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANYA selepas beberapa jam usai sesi penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di seluruh negara, Perikatan Nasional (PN) Melaka dikejutkan dengan pengumuman keluar parti oleh ahli dan kepemimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Jasin serta Srikandi negeri, Sabtu lalu.

Tindakan mengejut itu dipercayai rentetan daripada episod peletakan jawatan oleh Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen pada minggu sebelumnya.

Ketika itu, rata-rata pemerhati politik menjangkakan drama berkenaan diikuti kepemimpinan Bersatu Bahagian Tangga Batu, namun ramalan tersebut meleset apabila Bersatu Bahagian Jasin yang dipimpin Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Melaka, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub pula yang ‘lumpuh’.

Antara perkara dilaungkan individu yang keluar parti adalah hilang kepercayaan terhadap Mohd. Yadzil dalam mempertahan dua kerusi Parlimen di negeri ini iaitu Tangga Batu dan Jasin untuk ditandingi Bersatu.

MOHD. YADZIL YAAKUB

 

Hakikatnya, apabila bersahabat perlulah adil. Jika Tangga Batu dan Jasin ditandingi calon Bersatu, ini bermakna Pas selaku rakan komponen dalam PN hanya diperuntukkan satu kerusi iaitu Hang Tuah Jaya memandangkan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) sudah pasti menuntut Kota Melaka.

Bersatu sebelum ini memiliki status quo di Masjid Tanah dan Alor Gajah melalui penyandang kerusi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin serta Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof.

Ini bermakna, Pas layak menuntut Tangga Batu dan Jasin serta keputusan dibuat Mohd. Yadzil adalah relevan atas semangat permuafakatan dalam PN.

Sebagai sebuah parti yang lebih ‘makan garam’ daripada Bersatu, tidak boleh disangkal Pas mampu berdiri atas kaki mereka sendiri untuk menggerakkan jentera di kawasan ditandingi tanpa bantuan Bersatu.

Namun, seandainya akar umbi Pas mengambil keputusan ‘memboikot’ calon Bersatu, situasi itu amat berbeza dengan kemungkinan bakal menjadi saat-saat sukar buat Bersatu mengharungi tempoh 14 hari berkempen.

Pada PRU15, PN Melaka bertanding di enam kerusi Parlimen dengan pecahan Bersatu diperuntukkan tiga kerusi iaitu Hang Tuah Jaya, Alor Gajah dan Masjid Tanah manakala Pas dua kerusi di Tangga Batu serta Jasin diikuti Gerakan di Kota Melaka. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN