SEREMBAN: Polis hari ini menahan seorang pemandu bas sekolah selepas disyaki terbabit dalam kejadian mencabul murid perempuan berusia 11 tahun ketika ke sekolah, Isnin lalu.
Kejadian berkenaan tular dalam media sosial apabila bapa kanak-kanak itu memuat naik hantaran tidak berpuas hati dengan pemandu van sekolah anaknya serta dua sedutan rakaman video dia berjumpa pemandu berkenaan dan berlaku pertengkaran.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, lelaki berusia 41 tahun itu ditahan pada pukul 2 petang ini di Jalan Persiaran Utama, Seremban 2, di sini.
“Berdasarkan laporan daripada seorang wanita berusia 40 tahun berkaitan kes cabul ke atas seorang murid perempuan tahun lima, polis menahan seorang pemandu bas lelaki, hari ini.
“Hasil siasatan awal mendapati lelaki terbabit mengaku dalam kes yang disiasat itu. Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak- Kanak 2017,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, seorang lelaki memuat naik hantaran di akaun Facebook miliknya meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan seorang pemandu bas sekolah yang bertindak melampau terhadap anaknya
Berdasarkan hantaran itu, pemandu berkenaan pada mulanya mencubit pipi mangsa dan semakin berani dengan menepuk paha kanak-kanak itu.
Dalam pada itu, dia juga memuat naik dua video berdurasi tiga minit 28 saat dan satu minit empat saat memaparkan dua lelaki bergaduh mulut sebelum salah seorang lelaki yang berambut panjang menampar lelaki yang memakai topi berwarna merah.
Bapa kanak-kanak itu menegaskan dia tidak kisah jika ditahan polis berbanding trauma yang dialami anaknya selain demi maruah kanak-kanak itu. – UTUSAN