Harga ayam naik RM1 di Kelantan - Utusan Malaysia

Harga ayam naik RM1 di Kelantan

ADNAN Abd Rahman (kanan) bersama pegawainya meninjau harga ayam di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu, Kelantan. -IHSAN KPDNHEP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Harga ayam di Pasar Siti Khadijah, di sini serta beberapa pasar utama lain di Kelantan dilaporkan mencecah RM9.50 hari ini, naik RM1 hanya dalam tempoh tiga hari berbanding RM8.50 pada Sabtu lalu.

Ketika tinjauan Utusan Malaysia hari ini, rata-rata peniaga mengeluh jika terpaksa menjual harga ayam mengikut Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) sedangkan mereka mendapat bekalan dengan harga yang sudah mahal.

Seorang peniaga enggan dikenali berkata, disebabkan harga borong ayam diterimanya sudah melambung, dia tidak ada pilihan kecuali menaikkan harga runcit bagi mengelak berdepan kerugian.

“Bagaimana kami nak jual ayam dengan harga murah kalau harga bekalan yang kami terima semakin naik dari hari ke hari? Lebih malang, kami pula yang disalahkan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memberitahu SHMMP 2021 akan berkuat kuasa bermula esok hingga 20 Mei depan sebagai langkah kerajaan mengawal harga barangan ketika musim perayaan ini.

Sementara itu, sebanyak 48 notis amaran telah dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan ke atas peniaga dan pemborong ayam di negeri ini.

Pengarahnya, Adnan Abd Rahman berkata, kesemua notis dikeluarkan menerusi Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 menerusi Ops Catut 8.0 sejak Khamis hingga semalam.

Menurutnya, ia merangkumi pelbagai kesalahan termasuk kenaikan harga melampau.

“KPDNHEP Kelantan mengambil serius isu kenaikan harga ayam berikutan aduan orang ramai khususnya ketika Ramadan ini dan akan terus melakukan pemantauan rapi di semua lokasi dari semasa ke semasa,” katanya.

Adnan memberitahu, KPDNHEP Kelantan turut mengeluarkan 19 notis kepada peniaga daging dan 34 notis kepada peniaga sayur-sayuran atas pelbagai kesalahan terutama menaikkan harga. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya