Tongkang musnahkan tapak selaman Pulau Mabul  - Utusan Malaysia

Tongkang musnahkan tapak selaman Pulau Mabul 

TONGKANG yang melanggar terumbu karang di Pulau Mabul, Semporna, Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMPORNA: Kumpulan konservasi dan pengusaha resort di Pulau Mabul, dekat sini mengutuk tindakan kontraktor yang membawa tongkang mendarat berhampiran pulau hingga memusnahkan terumbu karang di destinasi pelancongan tersebut.

Tongkang yang membawa bahan binaan untuk projek kerajaan itu dilihat cuba mendarat berhampiran di Pulau Mabul pada 24 Jun lalu sebelum dihalang pengusaha resort.

Menurut pengusaha resort yang minta dirahsiakan identitinya, ketika melihat tongkang itu berada di perairan tidak jauh daripada kawasan terumbu karang, beliau berjumpa dengan kontraktor dan memaklumkan bahawa tongkang itu terlalu besar untuk mendarat di Pulau Mabul.

Katanya, tongkang sebesar itu tidak boleh mendarat di pulau tersebut biarpun semasa air pasang kerana ia akan melanggar dan memusnahkan terumbu karang yang berada di kawasan sekitar.

Bagaimanapun, kontraktor tersebut tidak mengendahkan nasihat yang diberikan dan tetap bertindak membawa tongkang itu berlabuh di Pulau Mabul.

Pengasas bersama Green Semporna, Adzmin Fatta berkata, sangat menyedihkan apabila mendengar mengenai kerosakan yang berlaku ke atas terumbu karang di tapak selaman, Paradise One, Pulau Mabul ini.

“Kami sudah melaksanakan pelbagai program konservasi marin bersama masyarakat setempat di Pulau Mabul sejak bertahun lamanya. Kini, kami dikejutkan dengan berita tongkang melanggar terumbu karang.

“Banyak sukarelawan turut terkejut apabila mengetahui tentang kejadian ini. Kami bersama-sama memulihara terumbu karang di sini tapi, ia musnah dalam sekelip mata,” katanya.

Pengurus Besar Reef Cheeck Malaysia, Julian Hyde berkata, pihaknya amat terkejut mendengar kerosakan yang berlaku ke atas terumbu karang yang menjadi tarikan pelancongan di Pulau Mabul.

“Kawasan terumbu karang ini bukan hanya menjadi lokasi penyelidikan kami setiap tahun tapi, ia juga lokasi latihan bagi Reef Check. Banyak spesis yang unik ditemui di tapak selaman Paradsie One ini,” katanya.

Julian berkata, kerosakan terumbu karang yang berlaku itu memerlukan puluhan tahun untuk dipulihkan terutama ketika kebanyakan terumbu karang di perairan Semporna ini sedang dilanda pemutihan karang.

Untuk itu, beliau menasihatkan kontraktor agar lebih sensitif dan berhati-hati ketika membawa masuk bahan binaan bagi sebarang aktiviti pembinaan di pulau tersebut.

Pulau Mabul menempatkan banyak resort pelancongan dan menjadi salah satu lokasi wajib apabila pelancong ingin melakukan aktiviti selaman selain menyelam di Pulau Sipadan. 

Tapak selaman di pulau ini menjadi rumah bagi kebanyakan spesis terumbu karang yang dikenalpasti oleh WWF-Semporna dan ia adalah lokasi projek pemetaan batu karang keras. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya