Pencemaran Sungai Petani semakin serius - Utusan Malaysia

Pencemaran Sungai Petani semakin serius

KEADAAN air Sungai Petani, Kedah yang berwarna hitam dan dicemari sampah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Pencemaran Sungai Petani di sini yang berlarutan sejak 20 tahun lalu kini didakwa semakin serius apabila air bertukar menjadi hitam dan berbau busuk.

Keadaan pencemaran di sungai tersebut dipercayai boleh menjejaskan kesihatan orang ramai sekiranya masalah itu terus dibiarkan tanpa sebarang tindakan oleh pihak berkuasa terlibat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pegawai Luar Bandar Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Zulkifli Yusuf berkata, pihaknya mendapati sungai tersebut dicemari dengan sampah, air kumbahan dan sisa minyak dari kawasan perumahan, industri, premis perniagaan serta bengkel membaiki kenderaan.

Menurutnya, aktiviti yang tidak terkawal itu menyebabkan Sungai Petani menjadi sungai paling tercemar di Kedah.

“Kegiatan membuang sampah dan melepaskan sisa buangan tersebut ke dalam parit dan sungai di sini didapati semakin meruncing,” katanya.

Zulkifli berkata, pihaknya juga mendapati banyak hidupan yang terdapat di dalam sungai berkenaan pupus akibat pencemaran tersebut.

Malah, tambahnya, pokok-pokok bakau yang terdapat di sepanjang sungai itu terjejas pertumbuhannya.

“CAP bimbang pencemaran sungai di Sungai Petani ini jika tidak dikawal dan diambil tindakan dengan berkesan turut mencemarkan Sungai Merbok,” katanya lagi.

Beliau berkata, walaupun masalah pencemaran sungai itu dipercayai telah lama berlaku namun sehingga sekarang tidak ada tindakan berkesan diambil oleh pihak berkuasa terbabit.

Sehubungan itu, CAP menggesa Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah pencemaran sungai itu yang semakin teruk tercemar.

“Pada masa sama, Kerajaan Negeri Kedah perlu bertanggungjawab dan memberi perhatian sewajarnya terhadap masalah ini dan mengambil tindakan segera bagi mengatasinya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya