TOKYO: Kerajaan dan syarikat di seluruh dunia menutup laman web pada Khamis ketika berusaha melindungi sistem masing-masing daripada serangan siber selepas kecerdasan buatan (AI) mengesan kelemahan keselamatan kritikal dalam bahasa pengaturcaraan yang digunakan secara meluas, iaitu PHP.
Menurut Wiz Research, salah sebuah firma keselamatan siber yang menemukan dua kelemahan itu, PHP digunakan untuk mengendalikan kira-kira 70 peratus laman web di seluruh dunia, termasuk kedai dalam talian, portal berita dan perkhidmatan kerajaan.
Dicipta pada awal 1990-an, PHP pada asalnya merupakan singkatan bagi laman utama peribadi, tetapi kini bermaksud pemproses awal hiperteks dan menjadi asas kepada pelbagai platform reka bentuk web popular.
“Penemuan ini merupakan antara kelemahan keselamatan paling serius yang pernah dikesan dalam PHP, malah boleh dikatakan dalam sejarah perisian,” menurut satu hantaran blog Wiz.
Model AI yang semakin canggih mampu mengesan kelemahan dalam kod komputer bahagian belakang sistem yang tidak disedari manusia selama bertahun-tahun.
Perkembangan itu meningkatkan kebimbangan terhadap keselamatan siber, dengan jumlah kelemahan perisian yang dikesan di seluruh dunia pada 2026 dijangka hampir dua kali ganda berbanding jumlah rekod tahun lalu.
Pengatur cara PHP mengeluarkan kemas kini perisian keselamatan pada Rabu.
Agensi Keselamatan Negara Amerika Syarikat (NSA) menggesa organisasi supaya segera memasang kemas kini keselamatan pada laman web masing-masing atau memutuskan sistem yang terdedah daripada internet.
Gesaan itu turut disuarakan pihak berkuasa dari China hingga Kesatuan Eropah (EU).
Sebuah unit perisian ancaman, Amazon Threat Intelligence berkata, pihaknya mengesan percubaan penggodaman yang dilakukan sebelum kelemahan keselamatan PHP itu didedahkan kepada umum. – AFP











