KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang menetap, bercuti atau melawat keluarga di luar negara dinasihatkan supaya mendaftar perjalanan mereka menerusi sistem e-Kaunselor.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sistem e-Kaunselor menjadi pangkalan maklumat bagi membolehkan Kementerian Luar menghubungi rakyat Malaysia jika berlaku kecemasan atau krisis keselamatan di luar negara.
Menurut beliau, setakat ini, kira-kira 6,000 rakyat Malaysia mendaftar perjalanan menerusi sistem e-Kaunselor sepanjang tahun lalu.
Katanya, jumlah itu terlalu rendah berbanding ratusan ribu rakyat Malaysia yang ke luar negara setiap tahun.
“Saya nasihatkan orang ramai mendaftarkan perjalanan masing-masing dengan memberikan maklumat asas seperti destinasi dan nombor telefon supaya bantuan dapat disalurkan dengan segera apabila diperlukan.
“Malangnya, untuk tahun 2025, bayangkan cuma 6,000 lebih orang sahaja yang mendaftar atau mengisi e-Kaunselor. Beratus ribu rakyat Malaysia keluar negara tetapi yang mengisi e-Kaunselor 6,000 lebih sahaja,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini semalam.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa (BN-Tampin) mengenai langkah meningkatkan pendaftaran rakyat Malaysia di luar negara.
Mohamad berkata, pendaftaran itu penting khususnya ketika berlaku konflik bersenjata atau keadaan tidak selamat yang memerlukan pemindahan segera rakyat Malaysia.
Sebagai contoh, katanya, kerajaan sedang berusaha memindahkan lima rakyat Malaysia termasuk sebuah keluarga, dari Yaman susulan keadaan keselamatan di kawasan tempat tinggal mereka.
Menurutnya, maklumat yang didaftarkan membolehkan kerajaan dan kedutaan menghubungi rakyat Malaysia dengan lebih mudah untuk menyampaikan arahan atau bantuan ketika krisis.
Sementara itu, menjawab isu tragedi Nepal, Mohamad berkata, kerajaan Nepal bersetuju memendekkan tempoh pengeluaran sijil kehilangan atau kematian mangsa bencana yang belum ditemukan daripada 12 tahun kepada 45 hari menerusi perintah eksekutif atau ordinan khas.
Katanya, persetujuan itu dicapai susulan permohonan kerajaan Malaysia kepada Perdana Menteri Nepal bagi mempercepatkan urusan dokumentasi membabitkan mangsa yang masih hilang dalam tragedi di daerah Rasuwa, Nepal pada 26 Ogos lalu.
Menurut Mohamad lagi, Nepal juga masih berusaha mengesan rakyat Malaysia yang masih hilang meskipun operasi mencari dan menyelamat di negara itu telah ditamatkan.-UTUSAN.











