ARKIB : 27/04/2010
Tiada bukti Beng Hock dicekik - Dr. Vanezis
SHAH ALAM 26 April - Pakar perubatan forensik dari United Kingdom, Dr. Peter Vanezis hari ini menyangkal pendapat Dr. Pornthip Rojanasunand, pakar patologi dari Thailand bahawa wujudnya kesan lebam akibat dicekik pada leher Teoh Beng Hock.
Beliau sebaliknya bersetuju dengan pandangan pakar patologi dari Hospital Sungai Buloh, Dr. Shahidan Md. Nor bahawa kesan lebam yang ditemui pada leher Setiausaha Politik Exco Kerajaan Negeri Selangor itu adalah kecederaan akibat terjatuh dari tempat tinggi.
Vanezis yang turut hadir pada sesi bedah siasat kedua mayat Beng Hock sebagai pemerhati mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan demikian semasa memberi keterangan dalam prosiding inkues siasatan kematian lelaki itu di Mahkamah Koroner di sini.
"Tiada bukti menunjukkan leher mangsa ditekan seperti dicekik sebelum mati. Lebam pada bahagian leher adalah sebahagian daripada corak kecederaan akibat jatuh. Tulang Hyoid dan salur pernafasan masih bercantum. Tiada kesan-kesan bengkak, cakaran kuku atau kesan lebam akibat tekanan hujung jari dapat dilihat pada permukaan leher.
''Kesan kecederaan pada leher mangsa bukan suatu kecederaan yang berasingan, sebaliknya ia ekoran daripada kecederaan-kecederaan pada bahagian badan yang lain," katanya menjawab soalan Ketua Pendakwaan SPRM, Datuk Abdul Razak Musa.
Beliau turut mempertikaikan pandangan Pornthip bahawa kecederaan pada dubur mangsa mungkin akibat ditusuk dengan suatu objek secara paksa sebelum kematian mangsa.
Berdasarkan pengalaman selama 35 tahun melakukan bedah siasat, Vanezis berpendapat semua kecederaan pada badan Beng Hock berpunca daripada jatuh dari tempat tinggi yang sekaligus menyebabkan kematian mangsa.
Beliau juga mengesahkan Beng Hock berada dalam keadaan sedar semasa jatuh dari tingkat 14 berdasarkan kecederaan pada beberapa bahagian bawah badan, dada, leher dan kepala selain tangan kirinya yang patah.
"Tiada sebarang kecederaan menunjukkan mangsa telah dibunuh dengan apa cara sekalipun dan dicampakkan dari tingkap di tingkat 14. Kecederaan-kecederaan yang dapat dilihat diserta dengan bukti tindak balas penting seperti lebam, pendarahan serta patah dan retak.
"Mengenai kecederaan pada pelvik, saya berpendapat ia turut menjadi punca kecederaan pada bahagian dubur dan kawasan sekitarnya," jelas beliau lagi.
Saksi itu bagaimanapun mengaku tidak sesuai untuk memberi pandangan sama ada Beng Hock telah ditolak keluar dari tingkap ketika dia sedar walaupun tiada bukti mengenainya ditemui.
Beliau juga mengaku tidak bersedia untuk memberi pandangan berhubung motif serta tidak dapat mengatakan sama ada mangsa telah ditakut-takutkan atau diugut sehingga menyebabkan dia jatuh.
Kesemua komen dan pandangan itu terkandung dalam laporan hasil bedah siasat kedua setebal 14 muka surat bertarikh 16 Disember 2009 yang dikemukakan Vanezis kepada mahkamah.
Selain memberi keterangan melalui tayangan imej-imej bedah siasat digital berdasarkan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan), beliau turut melakukan demonstrasi cekik dengan meletakkan lengannya pada leher Abdul Razak.
Sementara itu, semasa disoal balas oleh peguam yang mewakili keluarga Beng Hock, Gobind Singh Deo, suasana menjadi agak panas apabila berlaku sedikit pertikaman lidah antara keduanya.
Antara yang dibangkitkan oleh Gobind adalah kegagalan pakar yang pernah memberikan keterangan dalam inkues Puteri Diana itu untuk mendapatkan laporan berhubung kesan tapak kasut dan cap jari di tingkat 14 Plaza Masalam.
Keadaan menjadi tegang apabila Vaneziz menolak untuk memberi jawapan sekadar ya atau tidak terhadap soalan-soalan yang dikemukakan bagi memberi kefahaman yang lebih mendalam melalui penjelasannya.
Keadaan berlarutan sehingga prosiding di hadapan Koroner Azmil Muntapa Abas bersambung esok.
Mahkamah benarkan 55 IPTS cabar keputusan pendaftar
Keputusan kes bunuh jutawan kosmetik diketahui esok
Dipenjara 12 bulan ugut bapa
2 beradik, rakan bebas tuduhan bunuh
Aset syarikat pelaburan emas, Genneva kekal beku
Ketua guru disiplin bebas tuduhan cabul 11 pelajar
Kes bunuh eksekutif TV9 disebut 26 Jun
Dua sahabat edar dadah digantung sampai mati
Pas kena penghakiman ingkar, gagal hantar peguam wakili kes
Guru disiplin bebas daripada tuduhan cabul 11 murid
Yazid Sufaat dibebaskan daripada tuduhan keganasan
Dua sahabat edar dadah digantung sampai mati
Ketua juruwang pasar raya didakwa pecah amanah
Tiga pengedar dadah ke tali gantung
Buruh dituduh cederakan penyokong parti politik
Ketua juruwang didakwa pecah amanah lebih RM0.5 juta
ADUN Sri Muda gagal ketepikan tuduhan menghasut
Pembekuan aset Genneva diketahui Selasa
ADUN Sri Muda gagal ketepikan tuduhan menghasut
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||









